Tak sangka! Rupanya negara India bukan negara Hindu tapi negara sekular?! Ini kisah sebenar yang ramai tak tahu.
Ketika artikel ni ditulis, sudah 14 orang mati dan 4,000 orang ditahan kerana pertembungan dengan polis.
Ini berlaku di saat beberapa kawasan di India mengadakan protes jalanan kerana menentang undang-undang baru yang diperkenalkan kerajaan India
kerajaan pimpinan Narendra Modi dari Parti Bharatiya Janata (BJP) berideologi nasionalis Hindu.
Undang-undang itu adalah berkaitan pemberian warganegara kepada golongan minoriti yang menjadi pelarian di negara berkonflik seperti Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh.
Kira macam fast-track nak jadi rakyat India. Apa yang menjadi isu, hanya mereka yang beragama Hindu, Buddha, Sikh, Kristian, Majusi dan Jainism sahaja menerima kelebihan ini. Dalam bahasa mudahnya, pelarian beragama Islam diketepikan.
Persoalannya, kenapa orang Islam dan golongan sekular di India marah dengan undang-undang ni? Bukan ke India memang negara agama Hindu?
Kenapa negara India diidamkan Mahatma Gandhi bukan untuk orang beragama Hindu sahaja?
“Saya tak membayangkan negara India idaman saya untuk bangunkan satu agama sahaja, sama ada untuk Hindu seluruhnya atau Kristian seluruhnya atau Muslim seluruhnya, tapi saya mahu ia menjadi toleransi seluruhnya, dengan agama-agama bekerja sebelah menyebelah antara satu sama lain.”- Mahatma Gandhi, petikan dari Legal Service India
Ketika ini, India mempunyai populasi seramai 1.37 bilion rakyatnya dengan 80% mereka beragama Hindu. Manakala agama Islam kedua terbesar dengan hanya lebih kurang 13% je. Dan ada beberapa penganut agama lain macam Kristian (2.3%), Sikhs (1.9%), Buddha (0.8%) dan Jainism (0.4%).
Dalam sejarah panjang, negara India diisytiharkan merdeka pada 15 Ogos 1947 selepas British meluluskan Akta Kemerdekaan India 1947. Dalam pembentukan negara tu juga, dah menetapkan perkara-perkara penting dalam perlembagaan negara. Terutamanya dalam hal berkaitan kebebasan beragama.
Perlembagaan India dah menjamin hak serta kebebasan beragama untuk rakyatnya. Seperti yang termaktub dalam beberapa klausa yang ditulis dalam perlembagaan. Salah satunya dalam Artikel 25 yang menyentuh mengenai kebebasan kesedaran moral dan bebas mengisytiharkan, mengamalkan dan menyebarkan agama.
“Untuk kesejahteraan awam, secara moral dan sihat dan peruntukan-peruntukan lain dalam bahagian ini, semua orang diberi kebebasan kesedaran yang sama dan hak kebebasan untuk mengisytihar, mengamalkan dan menyebarkan agama.” Petikan dari Legal Service India
Dan jaminan ni dikuatkan lagi melalui Artikel 26, 27 dan 28 dalam Perlembagaan India. Jadi, menurut undang-undang, tidak syak lagi India adalah negara sekular. Sekular yang dimaksudkan kat sini bukanlah negara tanpa agama, tetapi negara yang meraikan semua agama yang dipilih rakyatnya.
Apa yang tak kena dengan rang undang-undang baru ni adalah ia melanggar prinsip sekular dalam perlembagaan India. Di mana kepercayaan agama tidak boleh dijadikan syarat untuk menjadi warganegara.
Kenapa kerajaan India tetap meneruskan rang undang-undang ini tanpa bantu minoriti muslim?
Rang undang-undang kerakyatan India sejak 64 tahun lalu, memang tidak membenarkan pendatang tak sah untuk menjadi warganegara India.
Semuanya berubah pada 11 Disember 2019, apabila ahli-ahli parlimen peringkat atas (upper house) seramai 125 orang mengundi ‘setuju’ berbanding 105 ‘tidak setuju’. Dan awal sebelum tu, majoriti juga mengundi ‘setuju’ di parlimen peringkat rendah (lower house).
Jadinya, kedua-dua dewan parlimen dah lepas. Rang undang-undang ni akan dijadikan akta apabila ditandatangani oleh Presiden India, Ram Nath Kovind dalam masa terdekat. Selain dipersetujui kebanyakan ahli parlimen, kita nak tahu juga kenapa ia dibawa secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan diketuai parti BJP ni?
“Akta ini menggambarkan budaya lama India berabad lalu mengenai penerimaan, harmoni, simpati dan persaudaraan.”- Tweet Narendra Modi, PM India, petikan dari LA Times
Parti BJP mahu undang-undang ini dilaksanakan kerana mahu melindungi komuniti yang terseksa di negara Asia Selatan. Jika sebelum ni, orang luar yang nak jadi warga India kena tinggal di India atau bekerja dengan kerajaan persekutuan sekurang-kurangnya 11 tahun, baru boleh memohon kewarganegaraan.
Tapi dengan undang-undang baru ni, mereka daripada enam agama kecuali Islam, hanya perlu ada bukti mereka dari Pakistan, Afghanistan dan Bangladesh.
Dan mereka hanya perlu tinggal dan bekerja di India selama 6 tahun je! Maka, mereka layak jadi rakyat India secara naturalisasi.
Malangnya, sudah tentu minoriti Islam yang diancam seperti golongan Ahmadi (difatwakan bukan Islam di beberapa negara) di Pakistan dan muslim Rohingya di Bangladesh takkan berpeluang untuk diterima jadi warganegara.
Pengecualian ni mungkin dibuat kerana Pakistan, Afghanistan dan Bangladesh dah pun merupakan negara Islam. Jadi kenapa nak tolong? Itulah antara jawapan orang mempertahankan rang undang-undang ni.
Apa yang menjadi tanda tanya, nasib minoriti Hindu di Sri Lanka dan orang Kristian di Bhutan juga tidak mendapat tempat dalam rang undang-undang baru ni.
Atau ini hanya misi kerajaan India menjadi negara Hindu demi kuasa politik?
Seperti yang kita tahu, kerajaan India ketika ini dipimpin oleh parti Nasionalis Hindu, BJP.
Ketika pilihan raya pada Mei 2019, Narendra Modi dipilih rakyat sekali lagi hanya dengan kemenangan tipis sahaja. Dengan makna lain hampir kalah.
Di bawah pemerintahan Modi, dilaporkan lebih dari 110 loji janakuasa ditutup dan sekurang-kurangnya enam kilang besar automobil dipaksa memberhentikan operasi kerana jualan rendah. Apa maknanya?
Maknanyaaaa…
Ini adalah salah satu bayangan bahawa ekonomi India juga sedang jatuh merudum menurut pakar ekonomi. Salah satu sebabnya dikatakan kerana kerajaan India ketika ni lebih sibuk utamakan masalah sosial dan adat budaya berbanding ekonomi.
Pemerintahan Modi juga nampaknya lebih banyak menggalakkan nasionalisme Hindu yang mungkin lebih popular dalam kalangan majoriti Hindu.
Maka, ada para pengkritik mengaitkan rang undang-undang kerakyatan baru ni salah satu misi untuk meneruskan agenda nasionalisme Hindu. Ini kerana pada tahun 2015, kerajaan BJP telah melakukan pendaftaran semula warganegara di kawasan Assam.
Jadinya, 33 juta penduduk Assam mesti tunjukkan bukti dokumen bahawa mereka warga India sejak sebelum perang 1971 (peristiwa keluarnya Bangladesh dari Pakistan).
Jadi, ramai yang tak mampu sebab kat sana memang hidup miskin. Hasilnya, 1.9 juta yang kebanyakan muslim diisytiharkan “stateless”. Namun, apa yang menjadi isu, ada perubahan senarai nama yang dilakukan pihak pendaftaran sebelum dikeluarkan.
Sebabnya ramai juga Bengali Hindu (pengundi kuat parti BJP) yang dikeluarkan dari senarai untuk dijadikan pendatang tak sah (nanti mungkin boleh jadi rakyat bawah rang undang-undang baru).
Dari situ, kini kerajaan India sedang membina 10 kem tahanan untuk menempatkan mereka yang tidak lepas proses untuk menunjukkan dokumen tadi. Inilah salah satu sebab rang undang-undang ini diragui ramai pihak.
Kerajaan India nafi menindas minoriti, tapi tindakan kerajaan sebaliknya?
Sejak kerajaan BJP berkuasa, ada beberapa tindakannya seolah-olah cuba mengenepikan golongan muslim di sana. Bukan satu tapi: banyak!
Sayang Modi ketat ketat…
Kerajaan BJP mengarahkan penulisan semula buku teks sejarah dalam pembelajaran dengan membuang segala rujukan terhadap kerajaan Mughal – kerajaan India muslim suatu ketika dahulu.
Sejarah yang akan lebih difokuskan adalah mengenai Raja Marathas dan Shivaji. Namun ia ditentang hebat oleh ahli Parti Kongres diasaskan Mahatma Gandhi dan juga parti-parti lain.
“Macam mana kita boleh lupakan sumbangan kerajaan Mughal dalam seni lukis dan seni bina? Dalam perjuangan melawan British, ia adalah jasa pemerintahan Mughal dan India yang datang bersama.
Kita perlu ajar pelajar apa yang telah berlaku dalam sejarah. Menggugurkan bab kerajaan Mughal dan sumbangannya adalah sesuatu tindakan yang sangat malang oleh kerajaan.”- Naseem Khan, ahli Parti Kongres, petikan dari India Today
Selain tu, kerajaan BJP turut meluluskan undang-undang pengharaman penyembelihan lembu yang merupakan haiwan suci golongan Hindu. Tindakan ini telah memberi ruang kepada gerakan-gerakan Hindu dan penyokong BJP untuk menyerang mereka yang menjadi suspek penyeludup lembu hingga ramai yang mati – kebanyakan muslim.
Di peringkat antarabangsa, kerajaan BJP pimpinan Modi dah pun menarik balik hak autonomi kawasan Kashmir yang dikawal negara tu. Seperti yang kita tahu, Kashmir adalah kawasan rebutan India-Pakistan di mana majoritinya adalah muslim. Kini ia dikawal secara terus oleh kerajaan India
Tindakan-tindakan ni terus menjadi tanda tanya lagi lagi apabila Mahkamah Agung di sana memihak kepada Hindu dalam perebutan kawasan. Ia berlaku apabila mahkamah memberi kebenaran kepada penganut Hindu untuk membina kuil di kawasan perebutan Hindu-Muslim di Ayodhya.
Pada tahun 1992, di situ terletaknya Masjid Babri yang diruntuhkan oleh sekumpulan Hindu kerana didakwa dibina atas tapak kelahiran Dewa Ram. Peristiwa paling tegang dalam sejarah Hindu-Muslim di India.
Bukan setakat penganut Islam, mereka dari penganut Kristian turut menimpa nasib sama apabila terdapat kes gereja diruntuhkan penganut Hindu di sana.
India merupakan antara tamadun tertua dengan keharmoniannya yang luar biasa
Tamadun India adalah antara tamadun tertua di dunia. Sejarahnya begitu panjang serta kemunculan pelbagai kerajaan dan empayar. Sudah terbukti pemerintahan empayar terdahulu begitu sifat terbuka hingga ada yang mengatakan India telah menjadi ‘Negara Sekular’ sejak beribu tahun dahulu.
Raja Ashoka pada 2,200 tahun yang lalu menerima dan menjaga pelbagai agama.
Begitu juga, Raja Akbar dari kerajaan Muslim Mughal yang meraikan pembinaan kuil Hindu, menghentikan amalan sati yang memberikan peluang kepada balu untuk berkahwin semula serta menghapuskan cukai jizya yang dikutip dari orang bukan Islam.
Begitulah sejarah terbentuknya ketamadunan India yang begitu harmoni dan bertoleransi sekali. Apa yang akan berlaku di India seterusnya? Hanya masa akan menjawabnya.
BACA:
Ini kronologi mudah faham kes saman fitnah Ustaz Ahmad Dusuki dengan Dr Mujahid Yusof Rawa