Tak sangka! Rupanya dulu ada satu tarian yang menjadi punca suami lupakan isteri, sampai ada yang sanggup…
Masyarakat Melayu dari dulu mempunyai tarian dan joget kita yang tersendiri.
Ini termasuklah Tarian Zapin, Mak Yong, Tarian Asyik, mahupun Joget Ronggeng yang suatu ketika dulu selalu ada di kenduri-kenduri kahwin.
Naun apa yang kami nak cerita hari ini adalah sejenis joget yang datang daripada Siam. Ia menjadi kegialaan semua penduduk di Alor Setar pada tahun 1960-an. Tarian tersebut adalah…
Rambong: Tarian yang membuatkan suami lupakan isteri, sampai ada yang sanggup mencuri!
Kisah ni diceritakan oleh wartawan veteran, allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya: ‘Mahathir Bukan Kawan Saya’.
Pada awal tahun 1960-an, ramai anak muda di Alor Setar selalu balik lewat malam dan kadang-kadang tu sampai lupa rumah. Lebih parah lagi, ramai suami yang lupa anak isteri dan biarkan tanggungjawab terbiar macam tu je. Puncanya… tak lain dan tak bukan adalah Joget Rambong yang dah ‘menyerang’ Alor Setar.
Punyalah kontroversi Rambong ni – sampaikan ada cikgu-cikgu, kakitangan kerajaan, tauke-tauke, penarik-penarik beca dan sewaktunya dengannya ‘khayal cinta’ dengan penari Rambong. Kalau korang nak tahu, Rambong adalah salah satu tarian yang popular di kalangan masyarakat Siam Kedah/Perlis dan selalu ditarikan di majlis-majlis keramaian.
Ia juga diilhamkan dari perayaan Loy Krathong di mana para penari akan menggunakan krathong yang dihias indah. Apa yang buatkan tarian ni menarik adalah adegan gurau senda dan pikat memikat antara pemuda pemudi yang menyambut perayaan Loy Krathong.
Kesan kehangatan Rambong mula memuncak di Alor Setar pada Jun dan Julai 1960 apabila ramai kaum lelaki berkunjung ke Taman Hiburan Alor Setar sebab nak tengok Rambong.
“Mereka melihat sendiri upacara puja yang dilakukan oleh penari-penari Rambong itu dan selesai saja mereka pun meluru masuk ke dewan tarian, sama ada menari ataupun memanggil penari-penari itu menari dihadapan mereka. Pokoknya mereka mesti menyaksikan penari-penari itu setiap malam.” – Zainuddin Maidin, dipetik dari bukunya: Mahathir Bukan Kawan Saya.
Apa yang membimbangkan, orang yang tengok Rambong ni macam tak sedarkan diri – sampaikan ada yang sanggup berhabis duit kerana Rambong. Malah ada yang sanggup berhutang, bergadai barang, curi ayam, curi kain baju orang dan macam-macam lagi. Semuanya dibuat semata-mata sebab nak tengok Rambong setiap malam.
Perkara ni bukan saja membuatkan masyarakat risau, malah…
Disebabkan gilakan Tarian Rambong – dikhabarkan ramai yang jatuh bankrap termasuklah ahli perniagaan dan tauke balak; bahkan ada pegawai kerajaan yang kena tindakan disiplin sebab lalai menjalankan tugas.
Perkara ini turut membimbangkan seorang tauke joget tempatan, Pak Teh yang mana anak-anak jogetnya dah tak laku lagi. Ia membuatkan perniagaan jogetnya hampir bankrap kerana sambutan hangat Rambong Siam.
Pak Teh pergi bertemu MB Kedah ketika itu, Tan Sri Syed Omar Shahabuddin untuk mengadu masalahnya. Bagaimanapun, Pak Teh kemudiannya menarik balik bantahannya terhadap Rambong bila pihak sana setuju bagi komisyen kepadanya atas hasil jualan minuman di Pesta Rambong.
Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin, MB Kedah dari tahun 1959 hingga 1967.
Perkara ini turut menarik perhatian Kaum Ibu UMNO Kedah yang mengadakan mesyuarat untuk mengatasi masalah ni. Ketuanya, Hamidah Bahari menyatakan rasa tak setuju terhadap keadaan itu dan bantahannya tersiar di akhbar Utusan Melayu. Ia seterusnya membawa kepada desakan terhadap kerajaan negeri Kedah supaya Pesta Rambong dihentikan serta merta.
“Desakan ini telah diterima dan sejak itu hingga ke hari ini Rambong Siam hanya dibenarkan bermain di Kedah untuk tujuan mengutip derma sahaja dan dalam sehari dua sahaja.” – Zainuddin Maidin, dipetik dari bukunya: Mahathir Bukan Kawan Saya.
Apa yang pasti, ramai yang tertanya-tanya, kenapa Rambong ni boleh buat orang Alor Setar kemaruk. Ada yang membuat andaian…
Tarian Rambong ada kaitan dengan unsur mistik
Berdasarkan pemerhatian Zainuddin, ada di kalangan orang ketika itu menyimpan rambut yang diberikan oleh penari Rambong dan ada juga yang sentiasa bawa bunga cempaka yang diberikan oleh penari kepada mereka. Ia dipercayai membuatkan mereka ini ‘jatuh cinta’ dengan penari-penari Rambong.
Walaupun sukar untuk membuktikan unsur mistik dan batin ini, tak dapat dinafikan ramai yang seolah-oleh terperangkap dengan penari-penari Rambong sehingga membuatkan mereka terikat untuk datang ke pesta setiap malam.
Peristiwa ini juga mencatatkan kisah duka apabila seorang pemuda telah terbunuh dalam satu pergaduhan kerana berebut penari Rambong.
“Bagi sesetengah orang ‘gila rambong’ ini menjadi kenang-kenangan yang manis untuk senyuman di hari tuanya, tetapi bagi isteri yang ditinggalkan oleh suaminya kerana berkahwin dengan perempuan rambong, maka tentulah tidak habis-habis kutukannya.” – Zainuddin Maidin, dipetik dari bukunya: Mahathir Bukan Kawan Saya.
BACA: