Tak sangka! Rupanya Anwar Ibrahim jual rumah di Segambut untuk biayai PRU15, rumah di kajang hanyalah rumah sewa!
Tuduhan yang dilemparkan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menghuni kediaman yang dikaitkan dengan seorang taikun adalah satu fitnah.
Peguam mewakili Perdana Menteri, Datuk Sankara Nair berkata, kediaman yang diduduki oleh Perdana Menteri ketika ini di Bandar Sungai Long, Kajang, Selangor adalah dibuat secara pajakan.
Beliau berkata, pajakan ke atas kediaman dua tingkat itu dibuat atas nama Perdana Menteri dengan pemilik asal untuk tempoh 10 tahun.
Kata beliau, proses pajakan itu telah dibuat pada November 2020 iaitu sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Tanah (rumah di Bandar Sungai Long) itu bukan milik Perdana Menteri sebaliknya ia dipajak daripada seorang individu.
“Proses pajakan itu telah didaftarkan dan terdapat bayaran telah dibuat mengenainya.
“Saya tidak boleh hendak berkongsi banyak maklumat kerana polis akan akan menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar yang dilakukan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.
Terdahulu, Ahmad Farhan dan Sankara membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terhadap tiga individu iaitu aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard; bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan serta Raggie Jessy Rithaudeen.
Laporan polis yang dibuat ke atas ketiga-tiga individu itu ekoran kenyataan palsu dan bersifat memfitnah Perdana Menteri.
Pada Selasa, Chegu Bard tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar memorandum dan melampirkan bukti mengenai persoalan milikan kediaman peribadi Perdana Menteri, koleksi kenderaan dan pemilikan tanah.
Mengulas lanjut, Sankara berkata, menjadi suatu yang pelik apabila Chegu Bard di dalam kenyataan media sosialnya ada menyebut nama pegawai kanan Perdana Menteri menyerahkan salinan dokumen yang mengakui premis di Bandar Sungai Long merupakan kediaman peribadi Anwar.
Jelas beliau, ia satu tohmahan yang dilakukan oleh aktivis politik tersebut dan setiap perkara yang mahu dikongsikan kepada umum seharusnya diperiksa terlebih dahulu.
Tegas beliau, pihaknya mempunyai bukti bayaran dilakukan oleh Perdana Menteri berhubung pajakan rumah tersebut.
Menurut beliau, bukti tersebut akan diserahkan kepada pihak polis apabila proses siasatan dijalankan.
“Proses pajakan ini tidak ada melibatkan deals (perjanjian-perjanjian) lain seperti mana yang didakwa olehnya (Chegu Bard).
“Kita semua kenal Perdana Menteri, malah sebelum menjawat jawatan tertinggi ini, beliau sangat tegas menentang segala bentuk rasuah.
“Oleh yang demikian, saya melihat pertuduhan yang dibuat terhadap Perdana Menteri adalah satu tohmahan jahat dan tindakan perundangan akan diambil,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, laporan polis dibuat terhadap Chegu Bard kerana menyebarkan beberapa kenyataan palsu, manakala Wan Saiful membuat tohmahan semasa berucap dalam ‘Ceramah Isu-Isu Semasa Kawasan Jerlun’ baru-baru ini.
Menurutnya, Wan Saiful turut mengaitkan Perdana Menteri dengan kediaman peribadi di Bandar Sungai Long serta beberapa kenderaan yang digunakan oleh Anwar.
Tegasnya, pertuduhan dan kenyataan yang dilemparkan itu sangat jelas berniat jahat, malah tidak berasas serta bermotifkan politik.
“Bukti-bukti konklusif dan menyeluruh yang menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan palsu tersebut akan dikemukakan kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan kelak.
“Semoga ALLAH memelihara kita semua daripada segala kemungkaran dan pendustaan,” katanya.
BACA: