Nama Afrika Selatan mungkin mula dikenali ramai apabila negara ini menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2010.
Namun, adakah anda tahu bahawa nama ini mempunyai sejarah panjang yang berkait dengan penjajahan British?
Nama Afrika Selatan sebenarnya diwarisi daripada era kolonial, di mana British pernah menjajah kawasan tersebut.
Berbeza dengan negara-negara Afrika lain yang telah menukar nama mereka selepas mencapai kemerdekaan,
Afrika Selatan mengekalkan nama tersebut hingga kini.
Asal Usul Nama Afrika Selatan
Pada awalnya, British menyatukan empat wilayah di bahagian selatan benua Afrika dan menamakannya sebagai Kesatuan Afrika Selatan. Pada tahun 1961, kesatuan ini memperkenalkan perlembagaan baru dan menukar nama kepada Republik Afrika Selatan.
Walau bagaimanapun, menurut ahli politik dan pihak kerajaan tempatan, nama Afrika Selatan hanya merujuk kepada lokasi geografi negara itu di selatan benua Afrika, bukannya nama sebenar yang mencerminkan identiti negara tersebut.
Seorang ahli politik pernah menyatakan:
“Wahai Afrika Selatan, kita masih belum mempunyai nama negara hingga ke hari ini. Afrika Selatan bukanlah nama, ia hanyalah petunjuk arah. Kita memerlukan nama sebenar untuk negara kita yang indah ini.”
Pandangan Rakyat Tempatan
Selain menjadi topik perbincangan di kalangan ahli politik, nama Afrika Selatan turut dipersoalkan oleh rakyat. Ramai merasakan nama itu tidak mengandungi falsafah atau makna yang mencerminkan identiti kebangsaan mereka.
Oleh itu, penduduk tempatan sering menggunakan nama tidak rasmi untuk merujuk kepada negara mereka, seperti Azania dan Mzansi.
Azania adalah nama lokal yang sering digunakan oleh golongan nasionalis dan pejuang kemerdekaan. Ia dipercayai berasal dari zaman Empayar Rom Kuno dan mempunyai nilai mitos.
Mzansi pula merupakan nama kolokial yang lebih meluas penggunaannya, termasuk dalam aspek budaya dan muzik.
Selain itu, banyak nama jalan, bandar, dan wilayah di Afrika Selatan telah diubah, dan proses perubahan ini masih berlangsung.
Nama-Nama Asal Negara Afrika
Sejak era kemerdekaan pada tahun 1960-an, lebih daripada 20 negara di benua Afrika telah menukar nama mereka, kebanyakan selepas pemerintahan kolonial berakhir.
Contohnya:
-Namibia dahulunya dikenali sebagai South West Africa.
-Botswana dikenali sebagai Bechuanaland.
-Mozambique dikenali sebagai Portuguese East Africa.
-Zimbabwe dikenali sebagai Rhodesia.
Negara-negara ini memilih nama baru yang lebih bersifat lokal dan bermakna, mencerminkan identiti dan warisan kebangsaan mereka.
Faktor Nama Dengan Petunjuk Arah
Hari ini, kebanyakan negara yang memiliki nama dengan petunjuk arah biasanya merupakan hasil perpecahan negara yang lebih besar. Contohnya:
-Sudan Selatan, yang berpisah daripada Sudan.
-Korea Utara dan Korea Selatan, yang asalnya bersatu di bawah Semenanjung Korea.
Namun, ada juga kes seperti Jerman (Jerman Timur dan Barat) serta Vietnam (Utara dan Selatan) yang akhirnya bersatu semula.
Di dunia ini, hanya tiga negara yang masih mengekalkan nama dengan petunjuk arah tanpa pernah mengalami perpecahan, iaitu:
-Republik Afrika Tengah
-Sahara Barat
-Afrika Selatan
Adakah Nama Afrika Selatan Akan Berubah?
Walaupun isu ini terus dibincangkan, sehingga kini nama Afrika Selatan masih kekal digunakan di peringkat antarabangsa.
Tidak dapat dipastikan sama ada negara tersebut akan menukar namanya di masa hadapan.
BACA: Kes pecah amanah RM6.6 bilion, Najib Razak dan Irwan Serigar dilepas tanpa dibebaskan