Seorang rakyat Malaysia menjadi perhatian di TikTok selepas berkongsi pengalamannya terkena ‘Bali Belly’ ketika bercuti di Bali, Indonesia.
Dalam video yang memaparkan dirinya terbaring di katil hospital, individu itu hanya menulis kapsyen pendek, “Bali Belly is real.”
Di ruangan komen, ramai rakyat Malaysia turut berkongsi pengalaman sama ketika melancong ke Bali.
“Aku pergi Bali, gosok gigi pun pakai air mineral. Memang minum air mineral saja sebab takut kena Bali Belly.”
“Saya kena Bali Belly lepas makan soto kaki ayam. Tiga hari terbaring di hotel, langsung tak boleh buat apa-apa.”
“Dulu masa di Bali, tour guide pesan jangan order air bancuh. Minum air botol atau tin saja.”
Apa Itu Bali Belly?
Menurut laman sesawang HIF Health Hub, Bali Belly adalah istilah bagi cirit-birit yang sering dialami pelancong akibat makanan atau air yang tercemar.
Punca utamanya adalah bakteria seperti Escherichia coli (E. coli), Shigella, dan Salmonella. Virus seperti norovirus dan rotavirus juga boleh menyebabkan simptom yang serupa.
Gejala Bali Belly
Gejala biasanya muncul dalam tempoh 1 hingga 10 hari selepas terdedah kepada bakteria atau virus. Antara tanda-tandanya:
Perut kembung, kekejangan, dan sakit abdomen.
Cirit-birit – najis longgar dan berair.
Muntah.
Pening kepala.
Berpeluh berlebihan.
Keletihan melampau.
Demam atau suhu badan tinggi.
Punca Utama
Selain makanan dan air tercemar, cuaca tropika di Bali yang panas dan lembap turut menyumbang kepada pertumbuhan bakteria yang lebih cepat pada makanan.
Langkah Pencegahan
Untuk mengelakkan pengalaman pahit ini, berikut adalah langkah pencegahan yang boleh diambil:
Minum air yang selamat – hanya air botol atau air yang direbus. Elakkan air paip.
Basuh tangan sebelum makan atau gunakan pembersih tangan.
Pesan minuman tanpa ais jika tidak pasti sumber ais.
Elakkan membasuh buah atau sayur dengan air paip.
Gunakan air botol untuk menggosok gigi.
Pilih makanan yang dimasak segar dan elakkan makanan yang terbiar pada suhu bilik.
Ingatan Buat Pelancong
‘Bali Belly’ bukan hanya mitos, tetapi realiti yang boleh menjejaskan pengalaman percutian.
Dengan langkah berjaga-jaga, anda masih boleh menikmati keindahan Bali tanpa risau tentang kesihatan. Pastikan anda merancang perjalanan dengan bijak!
BACA: