Penyanyi Noraniza Idris mengakui bahawa jualan tiket konsert “Qalam Noraniza Idris” terjejas selama tiga hari
akibat kontroversi penarikan diri bekas pengarah persembahan dan penulis skrip konsert tersebut.
Menurut Ratu Irama Malaysia itu, selain daripada jualan tiket yang terjejas, beliau juga berhadapan dengan kecaman negatif di media sosial.
“Reputasi saya terjejas apabila isu ini tersebar sehingga menyebabkan jualan tiket konsert saya terjejas selama tiga hari.
“Orang menuduh saya jahat. Makian dan kecaman yang diterima ketika saya bersiaran langsung di TikTok agak teruk. Orang yang dahulu menghormati saya kini berubah sikap.
“Kalau ikutkan hati, memang saya ingin memaafkan sahaja. Tetapi jika saya terus berdiam, orang akan terus ambil kesempatan.
“Saya sedang berbincang dengan keluarga mengenai isu ini, jadi tunggu sahajalah,” katanya selepas sidang akhbar program Keretapi Sarong di sini sebentar tadi.
Noraniza, 56, sebelum ini terpalit kontroversi selepas timbul dakwaan bahawa beliau memecat Anwar Rusdini, yang sebelum ini bertindak sebagai pengarah persembahan dan penulis skrip konsert “Qalam Noraniza Idris”.
Penyanyi lagu “Dikir Puteri” itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa individu tersebut menarik diri dan meninggalkan kumpulan WhatsApp secara tiba-tiba.
Dalam pada itu, Noraniza mengakui kesal dengan sikap tidak profesional Anwar yang menyebarkan perkara dalaman produksi di media sosial tanpa perbincangan secara baik.
“Dia tidak profesional, tidak sepatutnya isu ini disebarkan di media sosial. Sebaiknya, dia patut berjumpa saya secara berdepan.
“Apapun, saya tidak meletakkan harapan agar dia tampil untuk berbincang mengenai masalah ini. Dia yang membuat keputusan untuk menarik diri, jadi terpulang kepada dia jika hendak menyelesaikan hal ini
. Yang paling mengecewakan ialah apabila dia memilih untuk menyelesaikannya di media sosial. Itu ibarat memfitnah.
“Dia perlu menghentikan tindakan memburukkan saya, bukan sahaja di media sosial, tetapi juga kepada orang-orang yang dekat dengan saya,” jelasnya, yang akan mengadakan konsert “Qalam Noraniza Idris” pada 27 hingga 29 September ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Sementara itu, Noraniza juga diundang sebagai penyanyi utama acara Keretapi Sarong yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Lokasi utama acara tersebut yang bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dan mengangkat martabat tradisi tempatan masih dirahsiakan sehingga hari acara pada 14 September ini.