Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
Tidak perlu ditangguhkan walaupun negara menghadapi musim monsun timur laut (MTL).
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, KPM telah menyediakan mekanisme lengkap melalui SOP
Ops Payung untuk memastikan pelajar yang terkesan akibat banjir dapat menduduki peperiksaan dengan lancar.
Persiapan Menyeluruh Hadapi Musim Banjir
Azman menjelaskan bahawa SOP Ops Payung telah dirangka bagi menangani cabaran yang sering berlaku semasa musim banjir, khususnya di kawasan Pantai Timur.
“KPM telah menyediakan pekeliling khas untuk memastikan kesiapsiagaan menghadapi MTL, yang merupakan situasi tahunan di banyak negeri. Jadual peperiksaan juga telah dirancang dengan teliti, mengambil kira kemungkinan banjir.
“Jika peperiksaan ditangguhkan, ia akan memberi kesan besar, termasuk kepada jadual kemasukan pelajar ke universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau proses pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut, yang sebelum ini terjejas akibat banjir.
Kerosakan Sekolah Dalam Penilaian
Selain itu, Azman menyatakan KPM sedang mengenal pasti jumlah kerosakan di 132 sekolah seluruh negara yang terkesan akibat banjir. Jabatan Pendidikan Negeri kini turun padang untuk menilai keadaan dan membuat laporan lengkap.
“Kerja-kerja penilaian sedang dijalankan bagi memastikan bantuan dan pembaikan dapat dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.
Setakat ini, hanya Sekolah Kebangsaan Tembila di Besut yang masih digenangi air. Di Terengganu pula, 28 sekolah yang terjejas banjir sedang menjalani proses pembersihan pascabanjir.
Dengan langkah-langkah ini, KPM yakin proses pendidikan dan peperiksaan dapat diteruskan tanpa gangguan besar, meskipun berhadapan dengan cabaran musim banjir.
BACA: Terkandas banjir, graduan terpaksa hadiri istiadat konvokesyen atas talian