Tak perlu sampai ke Thailand, pasangan ini kahwin sindiket di Melaka sahaja dengan kos RM450. Cubaan sepasang suami isteri warga asing mengemukakan sijil nikah bagi mengelak dicekup kerana disyaki berkhalwat mengundang padah apabila dokumen itu didapati meragukan dan tidak diiktiraf Jabatan Agama Islam (Jaim).
Rampasan itu sekali gus membuktikan wujudkan sindiket nikah kahwin palsu di negeri ini yang mengeluarkan sijil nikah palsu atau tidak sah kepada pasangan bermasalah.
Terdahulu, pasangan lelaki etnik Rohingya dan wanita Indonesia itu ditahan hasil pemeriksaan oleh penguat kuasa Jaim di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 4, Semabok, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.
Pengarah Jaim Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil soal tanya, lelaki itu mendakwa dinikahkan pada 2018 oleh seorang ‘ustaz’ di sebuah rumah di penempatan warga asing di situ dengan bayaran RM450 dan diberikan sijil nikah berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal sijil nikah tertera perkataan ‘Majlis Ulamak Rohingya’ itu tidak diiktiraf pihak berkuasa agama di Melaka.
“Pasangannya yang juga ibu tunggal pula mendakwa berkahwin dengan lelaki berkenan selepas enam bulan ditinggalkan suami tanpa melalui proses perceraian.
“Jaim akan menyiasat semula berhubung status pernikahan pasangan terbabit yang turut mempunyai seorang anak serta dakwaan wujudnya sindiket nikah palsu dalam komuniti Rohingya ini.
“Kita tidak menafikan kewujudan sindiket pernikahan warga asing dengan penemuan kes itu dan akan menyiasat sama ada ia masih aktif menawarkan perkhidmatan atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas operasi bersepadu Op Gelenyar di sini, semalam.
Che Sukri berkata, warga asing terbabit antara dua pasangan berusia 30 hingga 61 tahun yang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu kesalahan bersekediaman atau berkurung hingga mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan mahram.
Katanya, pasangan kedua ditahan adalah seorang lelaki berusia 61 tahun bersama isteri orang yang didapati berkurung di dalam rumah semasa ketiadaan si suami.
“Ketika pemeriksaan, wanita itu mengaku suaminya berusia 38 tahun tiada di rumah kerana bekerja shif malam meninggalkannya dan dua anak mereka berusia tiga tahun dan tiga bulan bersama rakan sekerjanya itu berusia 61 tahun.
“Siasatan lanjut mendapati, lelaki berkenaan tinggal di situ sejak enam bulan lalu selepas baharu mendapat kerja di syarikat kawalan keselamatan bersama suami wanita terbabit,” katanya.
‘Saya sudah ditangkap tiga kali’
Tidak sampai sebulan pembongkaran kampung haram didiami warga asing Indonesia di Nilai, Negeri Sembilan dan Cyberjaya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menemui pula ‘kampung’ dihuni warga asing termasuk Rohingya di Semabok di sini.
Lokasi berkenaan dihuni majoriti warga asing Rohingya selain pendatang tanpa izin (Pati) Indonesia dan Nepal yang bebas bergerak keluar masuk di kawasan berkenaan.
Penempatan itu dibongkar hasil operasi bersepadu lima agensi termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Seramai 11 warga Nepal dan Indonesia ditahan selain 27 warga Rohingya turut disiasat dalam operasi bermula jam 12 tengah malam kelmarin hingga jam 2 pagi semalam.
Menerusi operasi itu, JIM menahan lapan warga Nepal mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana tinggal lebih masa selepas pas atau permit tamat tempoh serta memasuki Malaysia tanpa pas sah.
Keseluruhannya 11 warga asing ditahan berusia tiga tahun hingga 40 tahun termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak warga Indonesia kerana kesalahan sama.
Bagi etnik Rohingya pula, seramai 27 individu diperiksa. Kesemua mereka bagaimanapun mendakwa memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Susulan itu semua warga Rohingya terbabit tidak diberkas pihak berkuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, Jaim pula menahan dua pasangan termasuk warga asing kerana berkurung hingga mendatangkan syak mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Beliau yang turut sama dalam operasi itu memaklumkan salah seorang dari warga Nepal yang ditahan turut bertindak kurang ajar seolah-olah mencabar tindakan penguatkuasaan berkenaan.
“Salah seorang individu ditahan seolah-olah mencabar kami apabila berkata ‘Saya tak takut kena tangkap. Sudah tiga kali kena tangkap. Dua hari tauke sudah angkat keluar (bantu bebaskan).”
Beliau bagaimanapun tidak terkesan dengan tindakan ‘kurang ajar’ warga asing itu sebaliknya meminta laporan penuh hasil tangkapan warga asing termasuk tindakan yang akan diambil.
“..Tauke ko punya kabel besar, ko punya hal. Tapi jangan kurang ajar,” katanya yang turut berkongsi perkara itu di Facebook rasminya selepas operasi gerak gempur etnik Rohingya di Jalan Pulau Senang 3 dan Jalan Bunga Raya 4, Semabok di sini.
BACA: