Tak percaya dengan saudara sendiri, pasangan suami isteri wasiat semua harta kepada anak angkat

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Harta pusaka hanya boleh diwarisi oleh mereka yang mempunyai pertalian darah.

Melalui hantaran di Facebook, seorang lelaki berkongsi pengalamannya apabila ibu dan bapa angkatnya ingin menyerahkan seluruh harta mereka kepadanya.

Menurut lelaki ini, segalanya bermula selepas kesihatan kedua-dua orang tuanya merosot dan mereka sering berulang-alik ke hospital.

Situasi ini menyebabkan bapa angkatnya bimbang jika harta mereka diwariskan kepada saudara-mara yang lain kerana mereka tidak mempunyai anak kandung.

“Saya adalah anak angkat yang dibela sejak lahir. Ibu dan ayah angkat saya masih hidup dan mereka tidak mempunyai anak kandung.

Tak percaya dengan saudara sendiri, pasangan suami isteri wasiat semua harta kepada anak angkat

“Ibu dan ayah angkat saya berniat untuk menyerahkan semua harta mereka kepada saya semasa mereka masih hidup.

“Apa yang perlu dilakukan oleh ibu dan ayah angkat saya untuk memastikan harta mereka diserahkan kepada saya agar saudara-mara mereka tidak boleh menuntutnya nanti?” ujarnya.

Menyedari bahawa dia mungkin dipandang serong kerana hanya sebagai anak angkat, lelaki yang berusia awal 20-an itu menjelaskan bahawa penyerahan harta tersebut tidak dilakukan semasa ibu dan bapa angkatnya masih hidup.

Sebaliknya, kedua-dua orang tuanya ingin memastikan terdapat dokumen perjanjian atau ‘surat kuasa’ yang menyatakan bahawa harta akan diserahkan kepadanya selepas mereka meninggal dunia.

“Ibu dan bapa saya mahu membuat dokumen hitam putih semasa mereka masih hidup supaya saudara-mara tidak boleh menuntut apa-apa selepas mereka meninggal.

“Saya sayang mak dan ayah saya… sekarang mereka sudah tua dan tidak sihat seperti dahulu, sering ke hospital. Saya menjaga mereka sendirian tanpa bantuan sesiapa, jadi saya terpaksa bekerja online dan menerima tempahan kenduri,” tambahnya sambil mengakui keletihan dengan situasi tersebut.

Dia mendedahkan bahawa bapa angkatnya pernah ditipu oleh saudara-mara lain berhubung penjualan tanah pusaka milik datuknya, menyebabkan hubungan mereka renggang.

“Ayah adalah anak sulung dan adik-beradik ayah semuanya lelaki. Suatu hari, ayah memberitahu bahawa dia mempunyai tanah seluas 15 relung yang merupakan milik atuk.

“Tetapi adik-beradik ayah telah menipu dan menjual tanah tersebut tanpa memberitahu ayah terlebih dahulu. Akibatnya, hubungan ayah dan adik-beradiknya menjadi renggang,” tambahnya yang juga tidak mengenali adik-beradik sebelah ayahnya.

Menurutnya, perkara yang sama berlaku kepada ibunya di mana pembahagian harta dilakukan atas persetujuan adik-beradik tanpa sebarang dokumen rasmi.

Ada segelintir warga maya yang bimbang jika lelaki ini tidak menghargai jasa selepas memperoleh harta tersebut.

Namun, selepas beberapa ketika, pakcik saudaranya datang menuntut harta pusaka kerana merasakan pembahagian tidak adil dan dia perlu diberikan nilai yang lebih.

“Keadaan ini menyebabkan mak dan adik-beradik yang lain terpaksa mengumpul semula bahagian yang perlu diberikan kepada abang mereka,” katanya.

Situasi ini menyebabkan ibu dan bapa angkatnya bimbang jika kejadian rebut harta pusaka berulang dan hak mereka sebagai anak angkat dinafikan.

Hantaran lelaki ini mendapat perhatian warga maya, yang selain memberi pandangan dan cadangan, juga mengecamnya kerana bimbang dia tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak selepas menerima harta.

“Baik anak angkat atau anak kandung, jika tidak menghargai jasa, memang tidak menghargai jasa. Jangan prejudis terhadap anak angkat.

“Suruh ibu bapa angkat buat hibah bersyarat, selama mereka masih hidup, harta tetap milik mereka, selepas mereka meninggal baru harta itu menjadi milik anda.

“Pergi amanah raya. Ada perkhidmatan untuk membuat hibah atau dapatkan nasihat untuk menukar nama rumah atau tanah dengan menggunakan borang 14a,” kata beberapa warga maya memberi cadangan.

BACA: ‘Tak sangka ibu mertua yang baik punyai sifat sedemikian setelah anak dia meninggal, aku hanya diwasiatkan hutang’