Gara-gara tidak mendapatkan perhatian sepenuhnya daripada anak lelaki,
seorang wanita berusia yang bergelar mentua tergamak mengugut menantunya sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, wanita itu juga sanggup menggunakan cara kasar dan ‘halus’
hanya untuk memusnahkan rumah tangga yang dibina menantu dan anaknya.
Itulah situasi mendebarkan dialami oleh seorang menantu selepas berkahwin dengan suami yang bukan sahaja dicintainya malah turut begitu ‘disayangi’ ibu mentuanya.
“Saya wanita yang berani, selalu mempertahankan diri sendiri, berani keluar seorang siang dan malam ataupun berjalan jauh. Tetapi buat kali pertama, rasa takut sangat sebab ibu mentua ugut nak rosakkan hubungan saya dengan suami.
“Apa sahaja sanggup dilakukan asalkan anak dia tinggalkan saya dan pulang semula ke pangkuannya. Semuanya sebab ibu mentua mahukan perhatian penuh dari satu-satunya anak lelaki dia itu. Dia nak layanan macam isteri.
“Selama 24 jam kena layan Whatsapp dia, hari-hari telefon, setiap minggu balik dan kadang-kadang teman tidur sebilik. Mentua langsung tak kisahkan menantunya ini atau keluarga saya,” tulis sang menantu dalam satu perkongsian.
Perkongsian tersebut dibuat oleh menantu terbabit tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi satu hantaran dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Jelasnya, ibu mentuanya juga enggan berubah walaupun sudah berulang kali ditegur anaknya sendiri malah bertindak menyalahkan orang lain setiap kali timbul masalah.
“Kalau selang-seli balik rumah ibu bapa masing-masing pun mentua akan merajuk dan mengamuk juga. Kami cuba tegur perangai dia, tetapi sikapnya macam sangat narsistik. Dia rasa semua masalah berpunca dari orang lain.
“Sangat pentingkan diri walaupun dengan suami sendiri. Bapa mentua iaitu ayah tiri suami saya ini sakit. Tetapi ibu mentua sibuk buat hal dia siap merungut sebab kena jaga suami sendiri. Dia tak pernah salah.
“Suami saya hari-hari menangis dan kemurungan sebab hadap ibu mentua sampai dia tak nak balik rumah mak sendiri. Itu pun ibu mentua salahkan saya. Dia fitnah saya gunakan ilmu hitam kepada suami,” kesalnya.
Katanya buat masa ini, dirinya dan suami telah memutuskan untuk mengikuti semua keinginan ibu mentua kecuali tidur sebilik demi menyelamatkan perkahwinan mereka.
Menerima kenyataan bahawa tidak semua diimpikan dapat dikecapi dengan mudah, sang menantu hanya meminta orang ramai mendoakan supaya jodohnya berkekalan.
“Ibu mentua suka komen masakan saya, cara kemas rumah malah kalau saya sakit juga dia merungut. Banyak perkara saya terkilan tetapi malas panjang cerita. Suami juga terpaksa layan ibunya walaupun digelar anak bodoh dan derhaka.
“Ibu mentua hanya akan bersikap baik sekiranya mahukan sesuatu dan berkasar jika kemahuannya tidak dipenuhi. Saya gembira dengan suami dan menyayangi dia hingga ajal menjemput. Dia juga rela berjuang untuk berada di sisi saya.
“Mungkin ujian rumah tangga saya adalah kena hadap ibu mentua perangai macam ini. Saya dapat pasangan baik, tetapi dapat mentua yang sebaliknya. Saya sudah reda yang kita tak akan dapat semuanya dalam hidup. Doakan perkahwinan kami kekal lama.” Ujarnya.
Baca juga Padah bawa anak pergi RXZ member, lelaki menyesal anak dijangkiti kuman terhidu asap 2t