Jika anda penggemar sup kaki lembu, mungkin tiba masa untuk uji kesabaran anda dengan memasaknya sendiri.
Tidaklah susah memasaknya hanya proses untuk membersihkannya leceh dan mengambil masa tapi berbaloi dengan rasa sedap yang diperoleh bila dah siap masak nanti.
Ikuti perkongsian Abdul Muhaimin Mahfuz mengenai cara mencuci kaki lembu untuk hasil sup yang lazat:
1. Pertama sekali, bakar kaki lembu sehingga bulu dan ‘kasut’nya hangus. Pastikan dibakar ‘direct’ dengan seperti dalam gambar atau boleh guna kayu api.
2. Bakar hingga betul-betul rentung. Cara untuk tahu kaki lembu ni sudah boleh diangkat atau tidak ialah dengan cara mencungkil menggunakan pisau atau mata parang. Jika ia senang terkopak, itu tandanya kaki lembu ini sudah boleh diangkat dari api.
3. Bersihkan kaki lembu yang telah dibakar tadi dengan mengikis bulu yang hangus serta membuang ‘kasut’ nya. Proses ini agak renyah dan agak susah namun berbaloi dengan hasilnya. Berhati-hati ketika membersihkan kaki lembu ini kerana ia masih panas. Boleh guna tukul, pisau dan sebagainya untuk memudahkan kerja.
4. Kaki lembu yang telah siap dibersihkan dipotong jadi bahagian-bahagian kecil supaya senang dimasak, mudah lembut dan senang dimakan. Hanya potong guna pisau kerana bahagian ini lembut.
5. Bersihkan kaki lembu dengan membuang kesan-kesan arang.
6. Bolehlah direbus dengan api sederhana selama 4 jam. Boleh juga guna periuk tekanan untuk mempercepatkan proses memasak.
7. Tutup dengan penutup periuk.
8. Masak hingga kaki dan urat menjadi lembut.
9. Masukkan aneka bahan-bahan sup yang lain mengikut resipi kegemaran anda.
Sup kaki lembu memang sedap tapi mungkin hanya calon menantu mampu buat, ini cara cucinya, leceh tapi berbaloi