Sunway Medical Centre kini hospital pintar terbaik 2022. Sunway Medical Centre (SMC), Sunway City memenangi ‘2022 Malaysia Smart Hospital Company of the Year’ untuk tahun kedua di Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan.
Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan mengiktiraf syarikat di pelbagai pasaran serantau dan global yang menunjukkan pencapaian cemerlang dan prestasi unggul dalam bidang seperti kepimpinan, inovasi teknologi, perkhidmatan pelanggan dan pembangunan produk strategik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, kemenangan luar biasa ini adalah usaha kolektif oleh pasukan dan Sunway Medical Centre, Sunway City yang sentiasa komited untuk berada di barisan hadapan bagi teknologi hospital pintar di negara dan rantau ini.
Beliau menyatakan bahawa matlamat kumpulan itu adalah untuk mengubah sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dan sentiasa mencari cara inovatif untuk meningkatkan pengalaman pesakit sambil mengekalkan keselesaan dan kesejahteraan mereka.
“Saya berterima kasih kepada pasukan yang gigih, yang sentiasa mencari penyelesaian klinikal dan hospitaliti baharu untuk memenuhi keperluan pesakit, perunding perubatan dan kakitangan kami dengan lebih baik. Tanpa kerja berpasukan yang mantap, pengiktirafan ini tidak mungkin dapat dicapai.
“Masih banyak yang perlu dilakukan tetapi anugerah ini adalah bukti bahawa kami berada di landasan yang betul dan kami menantikan masa untuk pertumbuhan yang menarik di hadapan,” tambahnya.
Penganalisis Penyelidikan Amalan Terbaik Frost & Sullivan, Azza Fazar mengulas bahawa Sunway Medical Centre mencipta tanda dalam industri hospital pintar Malaysia melalui pelaburan berterusan dalam teknologi, dan reputasinya sebagai hospital dengan berpusatkan sub-kepakaran yang bertumpu kepada tiga falsafah utama – kecemerlangan klinikal, kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.
Selain itu, Sunway Medical Centre berterusan menyerlahkan komitmennya terhadap penjagaan pesakit yang inovatif dengan pelbagai pencapaian pada 2022.
Hospital itu adalah yang pertama di Malaysia yang memperoleh Sistem Pembedahan Generasi Keempat da Vinci Xi apabila ia dilancarkan pada Januari 2022.
“Dengan teknologi pembedahan termajunya, da Vinci Xi menjadikan pembedahan yang kompleks lebih mudah dan meningkatkan prestasi pembedahan, membolehkan pakar bedah dan pakar sakit puan mempunyai jarak pergerakan yang lebih luas dan penglihatan yang bertambah baik semasa pembedahan,” jelasnya.
Ia berkatam Sunway Medical Centre juga terus berada di barisan hadapan dalam teknologi dengan penambahan beberapa sistem pembedahan robotik yang canggih, iaitu Mako SmartRobotics dan ROSA Knee System yang mencipta sejarah dengan melaksanakan pembedahan penggantian sendi menggunakan bantuan robot yang pertama di Malaysia dengan Mako SmartRobotics pada 2021.
“Sistem canggih ini membolehkan pakar bedah melakukan prosedur sambil dibantu oleh robot dengan ketepatan yang lebih tinggi dan mengurangkan kesakitan kepada pesakit mereka selepas pembedahan,” katanya.
Tahun ini kemuncak kepada sambutan 1,000 pesakit robotik, satu pencapaian penting yang tiba sebagai satu lagi langkah dalam pelaburan gigih hospital ke dalam teknologi hospital pintar terkini untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan perubatan ketepatan.
BACA JUGA :
Zahid tegaskan sedia dicabar mana-mana yang nak bertanding Presiden Umno