‘Sumbangan’ tidak harus dimasukkan dalam makna rasuah – Hadi

Oleh MHDAILY

Takrif rasuah perlu dikaji dari sudut pandangan Islam yang sebenar, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, sumbangan kepada pihak yang memerlukan dan bukan atas tujuan peribadi sama ada individu atau masyarakat umum, tidak harus dimasukkan dalam makna rasuah.

“Maka, tiada orang akan menjadi mangsa akibat kesalahan daripada tindakan undang-undang yang dizalimi, bukan kerana kesalahannya mengikut hukum Allah SWT.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Pada masa sama, ia perlu diambil kira dari segi ekonomi pendapatan atau gaji yang cukup bagi keperluan diri dan keluarga,” katanya dalam kenyataan Minda Presiden PAS melalui akaun Facebook rasmi beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, berdasarkan sudut syariat, kesalahan rasuah perlu dikenakan hukuman bertujuan mendidik pelaku dan masyarakat.

Beliau menjelaskan, hukuman dikenakan harus mengikut jenis kesalahan berdasarkan ijtihad pemerintah dan ahli perundangan yang beriman.

“Hukuman dikenakan adalah seperti sebatan yang memalukan dan tidak mencederakan jasad, bukan sekadar dikenakan denda yang boleh dibayar.

“Lebih malang, jika pesalah rasuah mendapat hukuman penjara ‘VIP’,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pencegahan amalan rasuah perlu dilaksanakan sama seperti mencegah wabak penyakit, iaitu dengan tindakan sempurna dan menyeluruh.

“Pencegahan sesuatu penyakit haruslah bermula dengan kempen kefahaman dan kesedaran, disusuli pencegahan menggunakan vaksin dan ubat, langkah kuarantin serta tindakan undang-undang.

“Justeru, kerja pencegahan menjadi sia-sia jika sekadar melakukan kempen saja tanpa pencegahan, vaksin dan ubat, langkah kuarantin serta tindakan undang-undang,” katanya. –BH