BERSATU diibaratkan sebagai parti politik yang malang apabila tidak hanya kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri Nenggiri, tetapi kini presidennya juga sedang disiasat oleh polis.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, mendakwa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi punca kepada banyak kontroversi yang melibatkan institusi diraja.
“Kita tahu dan sedar bagaimana sewaktu Parlimen ditutup (ketika COVID-19), ada titah tuanku
(Yang di-Pertuan Agong ketika itu) mengenai penutupan Parlimen yang membabitkan Tan Sri Muhyiddin.
“Saya lihat keadaan ini tidak baik untuk BERSATU. Sudah jatuh ditimpa tangga. Selain kalah dalam PRK Nenggiri, kini disiasat polis pula,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang membuat laporan polis dan menyalahkan sebuah portal berita berhubung video tular yang melibatkan Muhyiddin.
Video yang tular di media sosial itu memaparkan ucapan bekas Perdana Menteri tersebut yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semasa baginda menjawat Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Wan Fayhsal itu, Fahmi mendakwa Ketua ARMADA BERSATU itu panik dan cuba menyalahkan pihak lain.
Katanya, beliau menyaksikan siaran langsung ucapan Muhyiddin di media sosial.
“Saya sendiri menyaksikan ucapan mantan Perdana Menteri itu secara langsung di TikTok dan kalau tidak silap saya, yang menyiarkan secara langsung itu ialah saluran parti PAS.
“Jadi jika mahu menyalahkan mana-mana pihak, salahkan organ PAS yang menyiarkan ucapan tersebut secara langsung. Saya rasa Wan Fayhsal mungkin berasa panik kerana sekali lagi Presiden BERSATU menjadi punca kepada banyak kontroversi,” katanya.
BACA: Pemandu e-hailing menyesal tipu isteri buat loan beli Honda siap mengaku kerja ‘gomen’