Seorang wanita tidak pernah menyangka, rumah tangga yang dibina bersama suami di atas nama cinta akhirnya musnah selepas usia perkahwinan mencecah 15 tahun.
Rumah tangga wanita dikenali sebagai Amila Gun (bukan nama sebenar) itu mulanya berjalan lancar malah hidup mereka bertambah lengkap selepas dikurniakan lima anak.
Namun langit itu tidak selalunya cerah dan berikut kami kongsikan penderitaan dialami Amila selepas suaminya berlaku curang berdasarkan hantaran di sebuah forum atas talian.
“Tidak aku sangka, rumah tangga yang dibina bersama suami di atas nama cinta dan kasih sayang akhirnya diuji hebat oleh Allah.
Selama 15 tahun kami melayari bahtera rumah tangga, dikurniakan rezeki untuk memiliki lima cahaya mata putera dan puteri yang comel. Mereka inilah penyejuk mata dan peneman hidup kami berdua.
“Aku ingatkan kebahagiaan dikecapi bersama suami yang dicintai sepenuh hati akan berkekalan hingga ke Syurga. Namun dua tahun lalu, segalanya berubah selepas dia bermain cinta dan berlaku curang. Dia juga sanggup melepaskan semua tanggungjawab.
Apabila penderitaan ini sudah tak tertanggung, aku mula memberontak.
“Tetapi suami pula mengambil kesempatan ini untuk membenci aku. 10 bulan jugalah aku dinafikan nafkah batin. Sedangkan dia boleh dapatkan semua itu dengan betina penyondol. Aku pula hanya ditinggalkan sendirian. Sebenarnya, sudah tak mampu aku bertahan lagi. Tetapi suami masih enggan melepaskan aku.
“Kata suami, dia masih menyayangi aku. Tetapi aku tahu, sudah tiada sayang dalam hatinya. Aku bukan lagi orang yang boleh memberi kebahagiaan kepadanya.
Tengok muka, bersembang atau senyum sekalipun tak pernah suami lakukan kepada aku ini. Dia telah membuang aku dalam hidupnya. Aku hanya penjaga status dirinya.
“Bagi suami, aku bukanlah isteri yang sepatutnya dijaga, dibelai dan disayangi. Aku benci oleh suami sendiri. Dia memperlakukan aku seperti orang asing yang tak perlu diambil tahu soal hidupnya. Aku serik.
Serik menjadi seorang isteri kepada seseorang lelaki. Serik berkorban dan menjaga hati aku untuk seorang insan bernama suami.
“Sedangkan suami langsung tak pedulikan aku. Nama sahajalah isteri, namun aku ini sebenarnya janda. Sudah 10 bulan dijandakan oleh suami sendiri. Sakit, susah atau gembira, aku sendiri.
Teruskan membenci. Sekarang lebih selesa sendiri. Mungkin Allah mahu aku bersamaNYA. Bukan dengan lelaki bertopeng.” Kongsinya.