Seorang isteri tidak pernah menyangka, kehadiran seekor kucing boleh menggoyahkan rumah tangganya bersama suami yang sudah sedia retak walaupun baru berkahwin.
Mana tidaknya, wanita yang dikenali sebagai Nora itu tiba-tiba dipertanggungjawabkan untuk menanggung segala perbelanjaan diperlukan bagi membela haiwan tersebut.
Sedangkan keinginan untuk memelihara kucing tersebut datang daripada suaminya yang langsung tidak mahu membantu malah semakin menambahkan beban isteri.
Tidak tahu bagaimana mahu menuntut suaminya supaya bertanggungjawab tanpa mengguris perasaan, berikut perkongsian Nora yang sedang sarat hamil anak pertama.
“Aku seorang penjawat awam yang berusia 29 tahun dan sedang mengandung anak sulung.
Tak ramai kawan dan ada ramai adik-beradik lelaki. Jadi aku memang tiada tempat untuk mengadu apatah lagi selepas kehilangan ibu. Hanya melalui penulisan inilah aku dapat meluahkan perasaan. Harapnya dapat komen yang membina ya.
“Sebenarnya aku baru setahun lebih berkahwin. Jadi masih dalam proses mengenali hati budi suami aku. Dia adalah pekerja swasta dan pendapatan kami lebih kurang sama sahaja. Tetapi suami terlalu bergantung harap kepada aku terutama mengenai soal kewangan. Dia hanya bayar sewa rumah dan bil utiliti sebanyak RM700 sebulan.
“Suami juga membayar motor dia dan insuran masing-masing lebih kurang RM200. Aku pula menanggung kereta iaitu RM700, penapis air, perkhidmatan penstriman di atas talian, pembiayaan pendidikan dan lain-lain. Bab makan kami bergilir-gilir bayar tetapi rasanya aku yang keluar duit lebih. Hujung bulan dia akan minta seratus dua.
“Kata suami, gajinya tak cukup. Tak tahu kenapa sedangkan komitmen dia tak tinggi mana. Belum cakap bab minyak kereta. Dia tak pernah isikan sebab aku yang bawa kereta itu pergi kerja. Kadang-kadang balik kampung dia, aku jugalah yang isi minyak dan tol. Aku juga yang menanggung kos servis dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Suami tak pernah membantu. Tetapi langsung tak malu meminta bantuan aku kalau duit dia tak cukup. Dia juga tak berikan aku duit poket dan nafkah. Wang makan dan minum pun tak cukup, apatah lagi nafkah pakaian. Aku menjadi semakin tawar hati terhadap suami sejak kami memelihara seekor kucing yang dia nak sangat bela.
“Mana tidaknya, aku yang kena keluar duit menanggung makanan dan pasir kucing. Kalau kami keluar membeli-belah, suami suka pau aku belikan kasut, baju, stokin dan seluar dia. Bab makan pula kalau aku teringin nak makan mahal-mahal sedikit, mesti kena bayar sendiri. Dia tak pernah sekali pun ajak aku makan mahal dan bayarkan.
“Pakaian pun tak pernah suami belikan walaupun sehelai. Nak keluar jalan-jalan pula aku seorang yang syok sendiri ajak dan bayarkan semua kos termasuk penginapan. Sekarang aku sedang mengandung enam bulan. Satu barang bayi pun tak beli lagi. Baju mengandung, seluar dalam, ubat vitamin dan minyak angin semua beli sendiri.
“Pemeriksaan kesihatan dan ujian imbasan ultrasound (scan) juga aku pergi sendiri. Pernah minta duit daripada suami tetapi dia buat muka monyok. Aku jadi kecil hati. Mesti barangan keperluan bayi aku kena beli sendiri juga. Paling susah hati ini, nanti selepas bersalin nak kena keluar duit bayar pengasuh, lampin pakai buang dan susu.
“Aku tak tahu macam mana nak minta duit daripada suami tanpa rasa bersalah dan tak perlu kisahkan muka monyok dia itu. Tolong para pembaca, bantu aku mencari jalan penyelesaian.” Kongsi Nora (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga:Kegiatan wanita ini terbongkar, sorok ratusan peluru dalam periuk nasi