Keadaan tahap pembelajaran dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar pada masa kini semakin membimbangkan.
Hal ini menyebabkan segelintir guru berasa putus asa dalam mendidik pelajar yang dilihat semakin kurang berminat
Terhadap pembelajaran, terutama selepas pemansuhan peperiksaan penting seperti UPSR dan PT3.
Baru-baru ini, seorang guru meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pelajarnya yang menjawab soalan peperiksaan secara sambil lewa tanpa menggunakan ilmu yang telah dipelajari.
“Stress murid lebih penting. Diambil maklum,” tulisnya di platform X.
Dalam ciapan lain, guru tersebut mendakwa ramai guru kini memerlukan bantuan kerana kesihatan mental mereka turut terjejas akibat tekanan.
Jawapan Pelajar yang Mengecewakan
Kelemahan pelajar ini turut didedahkan melalui gambar kertas peperiksaan yang menunjukkan jawapan mereka tidak memenuhi kehendak soalan. Malah, ada pelajar yang hanya menyalin semula soalan dan pautan yang tertera tanpa memberikan jawapan yang bermakna.
Lebih mengejutkan, pelajar tersebut melakukan kesilapan ejaan walaupun hanya menyalin soalan. Contohnya, soalan yang menggunakan perkataan “Jelaskan” ditulis sebagai “Jejaskan.”
Keadaan ini mencerminkan tahap pemahaman pelajar yang amat membimbangkan. Guru tersebut menyatakan, walaupun luahan ringkas, ia cukup menggambarkan realiti yang dihadapi oleh para pendidik hari ini.
Reaksi Netizen
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai netizen yang bersimpati dengan nasib guru yang terpaksa mendidik pelajar yang tiada minat terhadap pelajaran. Ramai juga mengecam sikap pelajar zaman kini yang memandang remeh kepentingan akademik dan menganggap pendidikan hanya sekadar fasa sementara.
Hakikatnya, pencapaian akademik memainkan peranan penting dalam menentukan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti berprestij serta mendapatkan biasiswa.
Selain itu, ilmu juga penting untuk berjaya dalam apa jua bidang, termasuk perniagaan, bagi merancang strategi dan mengelakkan diri daripada ditipu.
Isu Pemansuhan Peperiksaan Penting
Netizen turut mempersoalkan keputusan memansuhkan peperiksaan penting seperti UPSR dan PT3 semata-mata untuk mengurangkan tekanan dalam kalangan pelajar. Mereka bimbang, tanpa penilaian yang menyeluruh, hala tuju pendidikan negara akan terjejas dan melahirkan generasi yang kurang bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan
BACA: Pemilik restoran nyaris rugi RM150,000, hampir tertipu dengan ‘kerajaan’