Strawberi Cameron Highlands kini ‘dilelong’ untuk elak kerugian akibat PKP

Strawberi Cameron Highlands kini ‘dilelong’ untuk elak kerugian akibat PKP

Penanam strawberi di sini terpaksa menjual buah itu pada harga lelong yang lebih rendah daripada modal bagi mengelakkan kerugian lebih besar kerana tidak dapat dipasarkan seperti biasa susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Strawberi merupakan buah tangan “wajib” dibeli pengunjung Cameron Highlands, tetapi pekebun mengalami kerugian besar apabila harga pasaran menjunam lebih 70% kerana ketiadaan pelancong ketika tempoh PKP.

Pengusaha kebun strawberi yang juga Presiden Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Chai Kok Lim berkata, mereka lebih rela mengalami kerugian kecil dengan menjual strawberi di bawah harga modal.

“Daripada rugi besar, biarlah rugi sedikit, asalkan buah yang dipetik setiap hari dapat dijual dan tidak dibiarkan busuk di pokok.

“Jika sebelum ini harga jualan sekilo strawberi antara RM30 hingga RM35, kini ia dijual antara RM10 hingga RM12 sekilogram. JIka beli dalam kuantiti banyak oleh pengusaha kedai makan yang mahu membuat jus strawberi, ia dijual pada harga serendah RM8 sekilogram.

“Bagi buah bersaiz kecil yang tidak dapat dijual kerana pemborong biasanya hanya ambil buah besar dan sederhana, kami proses sebagai strawberi kering, jadikan jem dan ais krim, tapi sambutan produk itu tidak begitu menggalakkan kerana tiada pengunjung sepanjang PKP,” katanya kepada FMT ketika ditemui di sini.

Chai berkata, waktu terbaik strawberi berbuah antara Januari hingga Mac kerana cuaca yang baik, di mana buah dihasilkan lebih besar, manis dan berwarna cerah berbanding Oktober hingga Disember yang rasanya kurang manis kerana pengaruh cuaca.

Beliau berkata, pengusaha boleh meraih 1,000kg strawberi bagi setiap ekar antara Januari hingga Mac berbanding hanya sekitar 500kg seekar pada Oktober hingga Disember.

Bagaimanapun katanya, agak malang tahun ini kerana buah itu tidak dapat dipasarkan dengan baik kerana tiada permintaan.

“Walaupun wujud platform jualan dalam talian, namun disebabkan strawberi tidak tahan kepada cuaca, ia tidak sesuai dipasarkan melalui platform itu secara meluas.

“Sebelum ini, ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan, jualan sangat memberangsangkan kerana kehadiran pelancong yang ramai, tetapi ketika ini, saya boleh kata kosong, jika ada pun pembeli dalam kalangan masyarakat tempatan, jumlahnya sangat kecil, tapi itulah hakikat yang perlu diterima.”

Katanya, terdapat 50 pengusaha kebun strawberi di seluruh Cameron Highlands dengan lebih 60% atau kira-kira 30 daripadanya mengusahakan tanaman strawberi di kawasan Hulu Telom, iaitu sekitar Brinchang dan Kea Farm kerana cuaca dan persekitaran sesuai, manakala selebihnya di kawasan Tanah Rata.

Chai berkata, kawasan Ringlet dan Lembah Bertam kurang sesuai untuk penanaman strawberi kerana kedudukannya lebih rendah, lebih panas dan tidak dapat menghasilkan kualiti strawberi setanding Brincang dan Tanah Rata.

Katanya, jangka hayat pokok strawberi boleh mencecah empat tahun, jika dijaga dengan baik.

Oleh itu, beliau berkata, pembajaan, penjagaan dan kutipan hasil perlu dilakukan setiap hari bagi membolehkan hayat pokok serta penghasilan buah berada di tahap maksimum.

Beliau berharap pandemik Covid-19 akan berakhir dengan ketibaan vaksin tidak lama lagi dan larangan rentas daerah serta negeri akibat PKP dapat dilonggarkan bagi memastikan ekonomi pulih dan rancak semula. – FMT