STATUS AGAMA | Bersabar, tunggu penjelasan pihak berkuasa – Menteri

Oleh MHDAILY

Semua pihak dinasihatkan untuk bersabar dan menunggu penjelasan pihak berkuasa berhubung isu perkahwinan seorang rakyat Malaysia beragama Islam dengan seorang pemain hoki India baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan mempolitikkan isu sensitiviti agama adalah perbuatan yang tidak matang malah tidak menguntungkan agama.

“Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang ada kemungkinan sahih atau tidak.

“Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Begitupun, katanya, perkahwinan antara pasangan Muslim dengan Bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Jelasnya, pasangan bukan Muslim perlu masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pasangannya yang Muslim.

“Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia.

“Nasihat saya, sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam.

Justeru, katanya, bukan semudahnya orang lain boleh menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita disebarkan.

“Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam.

“Ini menzahirkan keprihatinan Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata. Marilah sama-sama kita berdoa kepada pasangan tersebut semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang baik serta zuriat yang soleh dan solehah,” ujarnya lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-status-agama-sabar-tunggu-penjelasan-daripada-pihak-berkuasa-dr-zulkifli-274147