Sebuah hospital di Lahad Datu, Sabah terpaksa mengosongkan zon merah selepas menerima satu panggilan kecemasan
Mengenai insiden ngeri yang diakibatkan oleh kenderaan terbakar.
Terdapat sembilan mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di mana dua individu tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas,
manakala tujuh yang lain turut tercedera namun berada dalam keadaan sedar.
Susulan panggilan berkenaan, dua agensi segera bergegas ke lokasi kejadian selain pihak hospital iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia di dalam usaha untuk menyelamatkan mangsa.
Namun alangkah kecewanya pihak yang terlibat sebaik diberikan makluman bahawa insiden kebakaran tersebut sebenarnya tidak berlaku malah panggilan kecemasan dilakukan itu juga palsu.
Meluahkan kekecewaan, kejadian tersebut dikongsikan oleh salah seorang petugas di bahagian Perubatan Kecemasan Hospital Lahad Datu, Dr Muhamad Na’im Ab Razak menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
“Saya rasa geram, marah dan sangat kecewa. Bayangkan, staf saya kebanyakannya bekerja ‘double-shift’ hampir setiap hari. Kami pula mempunyai ramai pesakit kritikal. Saya sendiri hanya sempat menjamah bekal makanan petang di penghujung syif.
“Tiba-tiba, kami menerima panggilan dari Pusat Panggilan Kecemasan Perubatan (MECC) yang memaklumkan bahawa terdapat kejadian kecemasan melibatkan ramai mangsa. Lokasi kejadian yang diberi pula mengelirukan.
“Malah berpotensi melibatkan dua kawasan di bawah bidang kuasa berlainan iaitu Kinabatangan dan Lahad Datu. Masalah kawasan tersebut juga termasuk akses komunikasi dan jalan yang teruk,” katanya.
Naim yang bertugas sebagai Pendaftar Kanan bahagian Perubatan Kecemasan itu berkata, satu strategi teratur terpaksa dirancang segera ekoran insiden melibatkan jumlah mangsa yang ramai dan lokasi mencabar.
Lebih memburukkan keadaan, pemanggil juga gagal dihubungi semula dalam usaha mendapatkan lokasi lebih tepat sehingga pihak hospital bersama sepasukan bomba dan polis terpaksa mencari sendiri kedudukan mangsa.
“Bukan mudah untuk ke tempat sebegini. Banyak perkara perlu difikirkan. Aset jabatan, keselamatan staf, jumlah pasukan yang perlu digerakkan ke tempat kejadian, persediaan di jabatan, dan pelbagai lagi. Nak tak nak, bomba dan polis menghantar pasukan mereka.
“Pihak hospital juga menghantar satu pasukan ke tempat kejadian sambil menyediakan ruangan untuk menerima pesakit. Zon merah perlu dikosongkan, pesakit yang stabil perlu dimasukkan ke wad. Staf yang bekerja syif petang juga terpaksa diminta untuk menunggu.
“Kami perlu bersedia menerima pesakit yang ramai selain merawat pesakit sedia ada. Kemalangan yang melibatkan struktur terbakar boleh menyebabkan kecederaan serius seperti luka melecur, saluran pernafasan tersumbat, kehilangan air dan garam dari tubuh. Tidak mustahil pasukan trauma juga perlu diaktifkan,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Naim sekali lagi dihubungi MECC selepas satu jam kemudian memaklumkan insiden itu tidak berlaku malah panggilan kecemasan dibuat adalah palsu susulan pemanggil menjelaskan situasi sebenar.
Difahamkan, pemilik telefon itu mendakwa panggilan tersebut sebenarnya dibuat oleh anaknya namun hanya mengetahui perbuatan kanak-kanak berkenaan selepas mendapati banyak panggilan tidak berjawab di peranti miliknya.
“Bayangkan dalam masa satu jam, jika berlaku pelbagai kemalangan atau kejadian buruk lain yang memerlukan bantuan bomba, polis, dan hospital ke tempat kejadian, tetapi semua pasukan ini tiada kerana terpaksa ke lokasi panggilan palsu.
“Tidak mustahil, ada nyawa yang betul-betul terkorban. Saya sangat kecewa. Dalam keadaan penat, hati saya remuk dan sangat geram. Tolonglah. Jangan lakukan perkara begini lagi.” Kesalnya yang turut dikenali sebagai Dr Jacknaim MD itu.