Siapa sebenarnya Ismail Abdullah, Ini sejarah asal usul nama jalan di Batu Pahat
Sejarah asal-usul nama sebuah jalan di Batu Pahat. ‘Jalan Ismail Abdullah
Jalan Ismail Abdullah yang terletak di Kampung Merdeka, Batu Pahat dinamakan dari nama Pegawai Daerah Batu Pahat
Beliau yang bertugas ketika itu sebelum di bunuh oleh MPAJA pada 10 Jun 1945 di SJK(C) Lok York, Benut, semasa tempoh akhir pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.
Allahyarham adalah anak sulong kepada Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Dato Abdullah bin Orang Kaya Abdul Rahman (Orang Kaya lll Minyak Beku) dan Datin Habibah binti Mohd Salleh.
Mendirikan rumahtangga dengan sepupunya, Mariam binti Orang Kaya Talib (Orang Kaya Parit Bakar) serta dikurniakan 9 orang cahayamata.
Kedua pasangan suami isteri ini juga merupakan waris kepada Daeng Ahmad Daeng Abdul Rahman, pembuka kawasan Minyak Beku, Batu Pahat pada tahun 1811.
Allahyarham berkhidmat dalam pentadbiran negeri Johor dengan memulakan kariernya awalnya sebagai pembantu pengajar di Muar Government English School.
Setelah lulus dalam peperiksaan undang-undang, beliau di lantik sebagai majistret di Johor Bahru dan Kota Tinggi.
Pernah menjawat jawatan penolong pemungut hasil di Kota Tinggi serta pemungut hasil di Kluang.
Penerima Biasiswa Sultan Ibrahim bagi melanjutkan pelajaran dan latihan dalam bidang ekonomi di England tetapi ditangguhkan disebabkan fasa awal peperangan dunia ke dua di Eropah.
Penolakan orang Melayu terhadap propaganda komunis menyebabkan MPAJA menaruh perasaan dendam dan benci terhadap orang Melayu. MPAJA yang kemudiannya mengambil alih pentadbiran di Batu Pahat menjalankan hukuman ke atas orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun.
Mereka menyerang kampung dan membunuh orang Melayu yang dianggap sebagai tali barut Jepun seperti penghulu, polis dan askar Melayu.
Pada hari Ahad 10 Jun 1945, satu rombongan yang terdiri daripada beberapa orang pegawai kerajaan, diketuai oleh Ismail bin Dato’ Abdullah, Pegawai Daerah menerima jemputan untuk menghadiri perjumpaan di Sekolah Cina Benut yang dianjurkan oleh penduduk tempatan. Rombongan telah bertolak dari Batu Pahat pada sebelah pagi, singgah sebentar di pekan Senggarang, sebelum meneruskan perjalanan ke Benut.
Pada jam 3.00 petang, tersebar berita yang rombongan ini diserang dan dibunuh oleh MPAJA ketika berada di bilik jamuan sekolah.
Berita pembunuhan itu menyebabkan seorang anggota polis dari Benut meminta bantuan dari Penggaram. Berikutan itu, sepasukan askar Jepun dan polis tiba di tempat kejadian. Mereka menjumpai lima mayat yang terdiri daripada mayat.
1. Encik Ismail bin Dato’Abdullah (Pegawai Daerah),
2. Tuan Haji Hasbullah bin Haji Arshad (Kadi Batu Pahat),
3. Dr. S. Woodhull (Pegawai Perubatan),
4. Mr. Sato (Pegawai Perhubungan Jepun).
Dan seorang lagi yang tidak dikenali.
Jenazah Ismail bin Dato’ Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat.
Alfatihah untuk allahyarham Ismail Dato Abdullah..
Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman..
Aminn..’