‘Siapa dia ni?’ Ini latarbelakang Amir Hamzah Azizan jadi punca dilantik jadi Menteri Kewangan ii

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Dalam senarai Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, seorang individu yang kurang dikenali dalam kalangan masyarakat atau politik mendapat perhatian.

Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),

Menjadi tumpuan setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet bersama Anwar sebagai Menteri Kewangan.

'Siapa dia ni?' Ini latarbelakang Amir Hamzah Azizan jadi punca dilantik jadi Menteri Kewangan ii

Amir Hamzah sebelum ini telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen.

Menurut BERNAMA, beliau kini menjadi teknokrat kedua di Kementerian Kewangan dengan latar belakang korporat, menyusul langkah bekas Menteri Kewangan,
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah menjadi CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Sebelum bergabung dengan KWSP, Amir Hamzah mengetuai Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai Presiden dan CEO dari April, 2019 hingga Februari, 2021.

Kerjaya beliau bermula dengan Shell Group of Companies selama 10 tahun dengan pelbagai peranan di Malaysia, Singapura, dan United Kingdom. Beliau menyertai MISC Bhd pada tahun 2000, menduduki beberapa jawatan pengurusan tinggi sebelum dilantik sebagai Presiden dan CEO pada Januari 2009.

Pada Jun 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Bhd. Pada Ogos 2012, Amir Hamzah menyertai Petronas Lubricants International sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan, serta bertugas sebagai Naib Presiden (VP) Pemasaran Hiliran dan Naib Presiden Minyak Pelincir bagi Petronas Group.

Pada Mac 2016, beliau menyertai Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sebagai Pengarah Urusan dan CEO untuk menguruskan syarikat penerima pelaburan, Icon Offshore Bhd. Amir Hamzah kemudiannya dilantik sebagai CEO Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, sebelum menyertai TNB pada April 2019.

Kini, beliau juga menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd, dan turut menganggotai lembaga pengarah Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Oils International Ltd.

Amir Hamzah memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Syracuse University, New York, Amerika Syarikat. Beliau juga telah mengikuti Program Eksekutif Stanford di Stanford University dan Program Kelas Malam Kewangan Korporat di London Business School.