Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Ampuan Pahang, telah menasihatkan semua penuntut universiti agar mengambil iktibar
Daripada kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tujuh tahun lalu, yang mengakibatkan pelakunya dihukum gantung sampai mati.
Nasihat Tunku Azizah ini disampaikan semasa baginda menghadiri Majlis Bai’ah atau Lafaz Ikrar Pelajar Baharu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang hari ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan semua pelajar baru ini.
Baru-baru ini, anda semua telah membaca dalam surat khabar mengenai kejadian yang berlaku tujuh tahun lalu di UPNM.
Jadi, saya harap anda semua mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.
“Janganlah sampai sia-sia sahaja anda masuk ke universiti, tetapi akhirnya terpaksa menghadapi hukuman gantung kerana tidak memikirkan kesan tindakan anda terhadap diri sendiri,” titah baginda yang dikongsi di laman Instagram.
Dalam majlis tersebut, Tunku Azizah juga mengucapkan tahniah kepada 5,066 pelajar baharu yang mendaftar untuk sesi pengajian 2024/2025 di dua kampus Pusat Asasi UIAM, iaitu Gambang dan Kuantan.
Selasa lalu, menurut laporan Kosmo bahawa enam bekas penuntut UPNM, yang sebelum ini dihukum penjara 18 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Zulfarhan Osman, telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail, selepas membenarkan
permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Enam tertuduh tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.
BACA: ‘Nak tutup malu, tiba-tiba teringat nak buat doa selamat’ – Rita Rudaini sindir siapa tu?