Pelawak dan pengacara, Shuk Sahar mengakui pernah hanyut dengan ujian kekayaan
Dan kejayaan yang sempat dinikmati sewaktu namanya berada di puncak populariti suatu ketika dahulu.
Menerusi satu pendedahan yang dilakukannya dalam sesi audio siar ataupun ‘podcast’, Shuk mengatakan bahawa
dirinya berada di tahap tertinggi di mata manusia ketika itu dengan harta dan populariti dimilikinya.
Namun hakikat sebenarnya, dia adalah manusia paling hina dengan segala jenis perbuatan dan kesilapan pernah dilakukannya malah pernah tidak rasa bersalah kerana terlalu ‘hanyut’.
“Abang ada kerjaya, rumah besar yang pernah tular, kereta ‘sport’ dan kenderaan berjenama mewah termasuk Mercedes dan Vellfire. Ada duit sampai tahap tak pernah tanya harga barang yang dibeli. Itu titik kejayaan di mata manusia.
“Tetapi di titik itu juga abang paling hina sebagai manusia. Kenapa? Sebab solat tak pernah, puasa pun tak. Pernah rasa tak malu tinggal Solat Jumaat. Lebih memilih untuk keluar dengan kawan-kawan berbanding pergi ke masjid.
“Masa itu lima minit untuk mengerjakan solat diibaratkan waktu yang sia-sia. Kalau di titik itu Allah tak beri peluang, Allah ambil abang, apa jadi? Apabila fikir balik, besarnya kuasa Allah,” katanya.
Keadaan bagaimanapun berubah sekelip mata apabila Shuk kehilangan segalanya termasuklah rumah besar dan kereta mewah selain kontrak kerjanya yang ditamatkan lebih awal.
Pemilik nama sebenar Mohammad Shukri Mohammed Sahar itu akhirnya menyedari bahawa kesenangan yang dinikmatinya selama ini hanyalah sekadar ‘hiburan’ buat manusia sementara menunggu mati.
”Sebab itulah apabila orang tanya abang sudah berubah ke? Abang jawab bukan berubah, aku cuma jalani hidup yang sepatutnya. Hidup ini sebenarnya menunggu mati sahaja.
“Sementara kita menunggu mati itu, inilah hiburan yang Allah bagi pada kita. Termasuk jawatan, pangkat, isteri dan anak-anak. Akhirnya kita akan mati.” Ujarnya dalam perkongsian itu.
Tular di media sosial, perkara itu didedahkan oleh Shuk menerusi sesi podcast disiarkan di laman Youtube iaitu YouCast yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok.
Baca juga UiTM keluarkan ‘warning’ graduan jangan buat isyarat-isyarat di atas pentas ini sebabnya