Shuib akhirnya buka mulut soal jodoh barunya. Sering diasak isu mencari pengganti, termasuk ada yang cuba menjodohkannya dengan kenalan dalam industri, pelawak Shuib memohon diberikan ruang untuk menjalani kehidupan dengan tenang.
Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhammad juga cukup sedar, barangkali ramai mulai bosan dirinya sering bercakap tentang jodoh baharu selepas 10 bulan pemergian isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
“Tak rimas tapi kalau boleh berilah sedikit ruang untuk saya menjalani kehidupan dengan tenang, sebab ini bukanlah satu perkara yang mudah.
“10 bulan Sarah dah tinggalkan saya dan anak-anak. Satu rasa yang cukup luar biasa sebenarnya. Kadang-kadang sampai tak tahu bagaimana nak terjemahkan.
“Tak pernah satu hari berlalu saya tak teringatkan tentang Sarah. Susahnya nak menjalani kehidupan pun dah satu tekanan buat saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar bapa kepada empat cahaya mata itu lagi, apabila ramai yang cuba menjodohkan dirinya dengan mana-mana wanita, tekanan turut dirasai namun dia cuma mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai.
“Saya berterima kasih apabila orang ambil berat pasal saya tetapi kadang-kadang pasal jodoh, bercinta dan berkawan dengan siapa membuatkan saya tertekan.
“Mengapa tidak doakan saya dan anak-anak yang terbaik. Insya-Allah, doa-doa kalian semua saya akan balikkan. Saya nak semua orang bahagia dan teruskan doa yang terbaik tapi jangan terlalu menekan cuba nak jodohkan dengan itu, dengan ini.
“Anak saya semakin membesar dan mereka dah boleh membaca. Saya tak nak komen yang bukan-bukan dalam media sosial memberi kesan kepada emosi dan pemikiran mereka,” kata Shuib, 38.
Terdahulu, selepas pemergiaan Siti Sarah Ogos tahun lalu, beberapa wanita termasuk kenalan industri seperti penyanyi Siti Nordiana dan terbaharu, pelakon Zara Zya pula dikatakan bakal jodoh Shuib.
BACA:
“Saya tak sanggup jumpa kembar Siti Sarah” – Shuib
“Siti Sarah dah tiada, insyaAllah ada Siti Nordiana” – Shuib
Akhirnya Nana beri respon ‘positif’ selepas didakwa bersama dengan Shuib