Seorang lelaki berusia 29 tahun kini berdepan hukuman gantung selepas ditahan kerana menyeludup dan membawa 35 bungkusan dadah jenis syabu seberat 36 kilogram (kg).
Suspek ditangkap ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa dadah bernilai RM1.15 juta di Kilometer 268.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, penahanan dilakukan pada jam 4 petang
oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu dengan bantuan Unit Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Timur 4 LPT2 Bukit Aman.
“Penahanan ini adalah hasil maklumat awam yang memaklumkan tentang sebuah MPV dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Rampasan Dadah Bernilai RM1.15 Juta
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan 35 bungkusan plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 36kg. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.15 juta.
“Dadah yang dirampas ini mampu digunakan oleh kira-kira 180,000 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Selain itu, polis turut menyita wang dalam akaun suspek berjumlah RM681,718.73,” tambah beliau.
Disyaki Diseludup dari Negara Jiran
Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran, sebelum dibawa dari Kelantan untuk diedarkan ke Lembah Klang.
“Suspek yang tidak bekerja itu didapati baru dua bulan terlibat dalam kegiatan ini. Hasil ujian saringan mendapati suspek negatif dadah,” jelasnya.
Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Suspek kini direman selama tujuh hari hingga 24 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” kata Datuk Mohd Khairi.
BACA: Ahli parlimen DAP cadang satira dan parodi dibenarkan, tak dianggap jenayah
1 thought on “Setinggi-tinggi tokan dadah melompat, akhirnya tersungkur di LPT 2”