Setelah mesyuarat MKT Umno di Janda Baik, seorang ahli didapati positif Covid-19

Setelah mesyuarat MKT Umno di Janda Baik, seorang ahli didapati positif Covid-19

Seorang pemimpin UMNO yang menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang pada Jumaat lalu dilaporkan positif COVID-19.

Difahamkan ahli MKT berkenaan merupakan pemimpin kanan UMNO Bahagian di Selangor.

Susulan itu, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan dikatakan telah melakukan ujian saringan dengan segera.

Sumber Astro AWANI yang juga pegawai khas kepada seorang menteri Kabinet berkata, bossnya segera membuat ujian saringan keesokan harinya selepas mendapat berita seorang ahli MKT positif COVID-19.

“Benar, Datuk Seri (menteri berkenaan) hadir pada mesyuarat itu. Esoknya terus beliau buat swab test,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, pegawai berkenaan enggan mendedahkan identiti sebenar ahli MKT yang dikatakan positif COVID-19, sekali gus membawa risiko kepada semua yang hadir dalam mesyuarat itu.

Antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat MKT yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam masa sama juga, Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada Ahmad mengenai perkara tersebut.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/seorang-ahli-majlis-kerja-tertinggi-umno-positif-covid19-283972