Seramai 63 jemaah umrah dari Malaysia terkandas di Arab Saudi. Seramai 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.
“Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah.
“Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022.
“Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.
“Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya.
BACA:
Rindu Nasi Gorang cabai tumbuk, isi ikan orang tua dulu-dulu, buat sendiri je!
‘Orang tak disangka datang bantu’, pemilik MPV ni belajar sesuatu selepas kereta rosak tepi jalan
Wanita kesal bayar ‘down payment’ kereta pakai kad, ini nasihat penting wajib tahu