Selepas Selangor, Perak juga akan melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam mengikut formula yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata pihaknya akan mengikuti langkah yang diumumkan bagi mengelakkan perbandingan antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Kita biasanya akan mengikuti pelarasan gaji awam… kita akan ubah suai sedikit sebanyak, tetapi pasti akan ada kenaikan,”
katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim sempena Tahun Melawat Perak 2024 di Ipoh, menurut Bernama.
Saarani mengakui bahawa kenaikan gaji penjawat awam ini akan memberi kesan kewangan kepada negeri, namun pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan keupayaan dana negeri bagi melaksanakan pelarasan tersebut.
“Selama ini pun kita sentiasa mencari kewangan, jadi insya-Allah ada rezeki masing-masing,” tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, memaklumkan bahawa kadar kenaikan gaji lebih 21,000 penjawat awam negeri Selangor juga akan diselaraskan seperti yang dilaksanakan di peringkat persekutuan.
“Kadar dan kaedah kenaikan gaji penjawat awam Selangor akan sama seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan kita akan mengikuti kaedah persekutuan.
Kenaikan ini akan dikuatkuasakan pada bulan Disember ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Selangor 2025 (Penggantian).
Dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-19 (MAPPA XIX) 2024, Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% untuk pegawai kumpulan pelaksana, pengurusan, dan profesional.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji 7% untuk pegawai kumpulan pengurusan tertinggi. Pelaksanaan pelarasan gaji ini akan dilakukan secara berfasa, iaitu pada 1 Disember 2024 untuk fasa 1 dan 1 Januari 2026 untuk fasa 2.
BACA: Pengawal keselamatan jumpa beg berisi wang tunai RM500,000 di parking mall di Damansara