Isteri kepada guru yang dikenali sebagai Cikgu Din, atau nama sebenarnya Mohamad Izzudin Izhar, 34,
Dilaporkan meninggal dunia pada jam 9 malam semalam.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Cikgu Din menerusi mesej ringkas di aplikasi WhatsApp.
“Isteri saya telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam tadi…
saya mohon maaf jika isteri saya ada salah silap. Jika ada hutang (Allahyarhamah), mohon maklumkan kepada saya,” tulisnya.
Perjuangan Melawan Kanser
Pada Oktober lalu, kisah perjuangan Cikgu Din mendapat perhatian ramai apabila beliau dilaporkan berusaha keras untuk bertukar ke Semenanjung demi menjaga isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, yang bertarung melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Cikgu Din, yang bertugas di Sarawak, sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isterinya. Beliau juga memohon pertukaran tugas apabila keadaan kesihatan isterinya semakin merosot.
Hasil usaha tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan telah bersetuju untuk menempatkan sementara Cikgu Din di sebuah sekolah berhampiran isterinya.
Ucapan Takziah
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut menyampaikan ucapan takziah menerusi kiriman di Facebook atas pemergian Nur Atiqah binti My Yusoff.
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Ucapan takziah dan rasa dukacita kami sampaikan kepada keluarga Allahyarhamah,” tulisnya.
Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Nur Atiqah.
BACA: Siapa sangka lelaki asal Penang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Meta