Selepas desak pengeluaran KWSP, Asyraf akui ianya bukan cara tangani kos sara hidup. Kerajaan perlu melaksanakan pendekatan bersifat holistik termasuk intervensi terhadap rantaian bekalan makanan asasi rakyat bagi menangani isu kos sara hidup dan harga barang meningkat.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerenah birokrasi di peringkat bawah juga perlu ditangani segera bagi memastikan bantuan termasuk subsidi dapat disampaikan kepada rakyat secara berkesan.
“Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh dijadikan satu-satunya cara untuk menyelesaikan kedua-dua isu berkenaan ketika ini.
“Ramai yang minta perjuangkan sekali lagi isu KWSP. Waktu saya berjumpa untuk merayu kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul sebelum ini, saya sudah berhujah bahawa pengeluaran RM10,000 dari KWSP dahulu adalah yang terakhir bagi memenuhi tuntutan rakyat untuk memulakan kehidupan baharu pasca pandemik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO akan terus bersuara bagi pihak rakyat dan bersedia menjadi penghubung kepada kerajaan agar suara hati rakyat didengari.
“Tengah hari ini ada beberapa persatuan penternak ayam di kalangan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) serta wakil Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan datang ke pejabat Pemuda UMNO untuk berbincang mengenai isu-isu melingkari mereka untuk diangkat kepada kerajaan,” katanya.
BACA:
Nikah gadis lain, Azri Iskandar nak saman portal dan wanita yang fitnah