Selangor umum saringan kesihatan percuma untuk rakyatnya, ini butirannya. Selangor menawarkan saringan kesihatan percuma menerusi Program Selangor Saring melibatkan peruntukan sebanyak RM 3.4 juta di bawah Belanjawan Selangor 2022.
Exco Kesihatan Awam Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program pengesanan penyakit itu membolehkan rawatan awal diberikan kepada pesakit dan membantu meningkatkan peluang untuk sembuh.
Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan 39,000 orang akan mendapat manfaat di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi program itu.
“Program Selangor Saring menawarkan saringan kesihatan bagi tiga kategori penyakit iaitu penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
“Turut ditawarkan saringan kesihatan penyakit kanser (kanser kolorektal, prostat, serviks, payudara) dan penyakit berkaitan mata seperti rabun, glaukoma dan retina,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, penduduk Selangor yang berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga (penyakit berjangkit), berat badan berlebihan dan gaya hidup tidak sihat digalakkan membuat pendaftaran di aplikasi SELangkah bermula 16 Mei ini.
“Setiap pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran yang bertujuan untuk mengenal pasti latar belakang serta faktor risiko pemohon.
“Individu yang layak akan menerima baucer untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi dan tarikh yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut bekenaan Program Selangor Saring boleh didapati melalui laman sesawang selangorsaring.selangkah.my.
Katanya, sebarang isu berkaitan pendaftaran boleh diajukan ke talian hotline Selcare 1-800-22-6600 atau talian hotline Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) yang boleh didapati menerusi laman sesawang https://drsitimariah.com/talian-suka/.
BACA:
Najib ulangi pendirian pertahan GST, dakwa rakyat lebih senang kalau ada cukai itu
Siapa yang paling untung dan rugi bila OPR naik? Ini pendedahan pakar
Penjawat awam contoh, 36 tahun berkhidmat tak pernah sekali pun ambil cuti sakit