Menjadi seorang pelajar sambil bekerja bukanlah perkara mudah. Bagi sesetengah mahasiswa, menjalankan pekerjaan sambilan sudah menjadi rutin harian yang biasa dilakukan.
Ramai antara mereka yang memilih untuk memulakan perniagaan sendiri atau membantu ibu bapa berniaga.
Berkongsi kisah inspirasi, Yasmin Qamarina Hilmi, seorang gadis muda yang berusia 21 tahun, tidak pernah malu membantu keluarganya menjual ayam goreng di pasar malam.
Meskipun niat murninya sering disalah anggap, dengan pelbagai ejekan dan hinaan daripada netizen, Yasmin tetap teguh dengan pilihan hidupnya.
“Di universiti, ramai yang tampil dengan penampilan cantik dan bergaya, tetapi saya cuma jual ayam goreng,” antara komen sinis yang pernah diterima Yasmin semasa melakukan siaran langsung (live) ketika berniaga.
Walaupun dihina, Yasmin tidak sedikit pun merasa malu, malah dia berbangga kerana berpeluang membantu keluarganya mencari rezeki halal.
Sebagai mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Yasmin bersyukur dapat menyumbang kepada keluarga walaupun masih menuntut di universiti.
Kisah perniagaan keluarga ini bermula pada tahun 2015 apabila bapanya yang bekerja dalam bidang pemasaran, memutuskan untuk mengejar minat dalam bidang perniagaan ayam goreng. Dari situ, mereka mula berniaga di Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur semasa pandemik Covid-19 yang mengubah landskap ekonomi mereka.
Sejak berusia 12 tahun, Yasmin sudah membantu ibu bapa berniaga. Setiap kali cuti hujung minggu atau cuti khas, Yasmin akan pulang ke kampung halaman untuk membantu mereka.
Walaupun penat dengan rutin belajar dan berniaga, Yasmin tidak pernah mengeluh dan tetap bersemangat. “Penat itu memang ada, kadang-kadang hampir rasa putus asa, tapi saya kena teruskan sebab masih belajar,” ujar Yasmin yang kini mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan.
Bagi Yasmin, wang hasil kerja sambilan itu memberikan kebebasan untuk membeli barang keperluan di universiti dan menambah kelengkapan diri. “Bila tengok perempuan lain cantik-cantik, saya pun jadi terikut, jadi saya cuba berfesyen sedikit demi sedikit,” katanya. S
elain itu, Yasmin juga berhasrat untuk mengembangkan minatnya dalam dunia fesyen dengan mencuba peluang sebagai model.
Dengan cita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya dan model terkenal pada masa depan, Yasmin Qamarina terus melangkah dengan penuh semangat, membuktikan bahawa kerja keras dan usaha tidak pernah menghalang seseorang mencapai impian mereka.
BACA: Panas!! Hassan Karim dedah sebab kenapa Anwar Ibrahim tak perlu letak jawatan PM