Salam semua, saya Nurul. Saya menulis luahan ini sambil menikmati suasana sibuk di Jepun.
Ya, saya kini berada di Jepun, membawa diri dan mengejar impian. Tentang taat? Kenapa? Ya, saya seorang bekas isteri. Kenapa bekas?
Saya dan H telah berkahwin selama 8 tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Semasa saya menjadi isteri, ada satu perkara yang saya tak pandai lakukan. Saya tidak pernah membebel kepada suami, apatah lagi bercakap dengan nada marah.
Saya lebih memilih untuk bercakap dengan lembut, walaupun dalam hati saya sering berperang.
aya memang jenis yang tidak pandai membebel, apatah lagi mengamuk. Jadi, apabila marah, saya lebih memilih untuk diam.
Kalau dengan anak, biasalah. Saya seorang ibu yang agak tegas, kata anak saya. Selepas tujuh tahun perkahwinan, suami saya mendapat pekerjaan baru. Di syarikatnya, terdapat budaya “buddy system”, di mana pekerja lama akan memandu pekerja baru untuk satu tempoh.
Buddy asal untuk H mengalami masalah untuk komited, jadi dia digantikan dengan buddy baru. Rupanya, buddy baru itu adalah rakan sekelas suami saya semasa di universiti. Kita panggil dia Sha. Hari pertama H bekerja, dia cerita semua kepada saya, termasuk tentang Sha.
Ternyata, Sha yang mencadangkan kepada HR untuk mempertimbangkan permohonan suami saya di syarikat tersebut. Hari demi hari, saya sering mendengar suami saya menyebut nama Sha, “Sha cakap ini, Sha cakap itu”. Setakat itu, semua cerita berkaitan kerja sahaja yang saya dengar. Sha memang sangat membantu suami saya untuk menyesuaikan diri di dalam pasukan.
Saya juga bekerja, dan syarikat saya pun ada buddy system, jadi saya tidak rasa sunyi. Fast forward enam bulan, saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena. Suami saya masih seperti biasa, tapi ada satu perasaan yang saya rasa agak janggal. Dia masih kerap bercerita tentang Sha, dan saya mula syak sesuatu. Walaupun dia jarang mesej saya semasa kerja, saya anggap mungkin dia sibuk. Di rumah, handphone suami saya dibiarkan merata-rata, kerana saya bukan jenis yang suka memeriksa telefon suami.
Instink saya betul. Dari sekadar hubungan kerja, mereka kini berdua menjalin hubungan percintaan, diam-diam. Mereka sering keluar bersama, kononnya untuk makan tengah hari, tetapi disembunyikan daripada pasukan. Banyak perkara yang mereka lakukan bersama.
Saya masih tenang, namun pada masa yang sama, saya mula merancang untuk keluar. Saya beritahu suami saya bahawa saya ingin mengambil beberapa sijil kemahiran untuk meningkatkan resume saya. Saya juga cakap saya ingin membeli kereta supaya saya boleh pergi kelas tanpa perlu dia menghantar.
Strategi pertama berjaya. Selepas enam bulan, saya mendapat sijil yang boleh menambah nilai pada resume saya. Saya tahu hubungan suami saya dengan Sha masih berterusan. Prinsip saya, selagi suami saya tidak mengaku atau kantoi, saya akan tunggu sahaja sampai mereka berdua sendiri menunjukkan warna sebenar.
Dengan resume yang lebih baik, saya berjaya mendapat pekerjaan di sebuah GLC. Saya terus melayan suami saya seperti biasa, dan dia juga berkelakuan sama seperti sebelum ini. Saya juga buat akaun Instagram kedua untuk mengikuti Instagram Sha. Banyak kali saya nampak dia muat naik gambar suami saya, tetapi selalu dalam bentuk yang samar-samar.
Saya kenal suami saya, walaupun hanya gambar tangan atau celah kuku, saya tetap tahu itu suami saya. Hampir setahun saya membiarkan mereka berdua, tiba-tiba Sha mula mengikuti Instagram saya. Saya pura-pura terkejut, tetapi tetap tenang.
Sha memperkenalkan dirinya dan mengaku bahawa dia ada hubungan dengan suami saya dan mereka sudah merancang untuk berkahwin. Saya cakap dengan Sha, saya sudah lama tahu tentang hubungan mereka dan minta dia berhenti menghubungi saya. Biarkan saya dan suami uruskan perkara ini sendiri.
Beberapa hari selepas itu, suami saya bertanya sama ada Sha ada menghubungi saya. Dari situ, segala-galanya terbongkar. Suami saya akhirnya mengakui bahawa dia merancang untuk berkahwin dengan Sha. Saya? Masih tenang, tetapi dalam hati saya kosong. Semua perasaan saya hilang.
Malam sebelum tidur, saya beritahu suami saya bahawa saya tidak mahu lagi menjadi isteri pertama dan ingin dilepaskan. Saya katakan dengan tenang bahawa saya sudah fikir masak-masak, dan saya tidak mahu menjadi isteri yang derhaka apabila ada yang kedua.
Suami saya terdiam. Dia meminta maaf dan mengaku bahawa dia salah kerana tidak menjaga batas. Katanya, dia tidak tahu mengapa dia suka kepada Sha, padahal dulu semasa di universiti, mereka tidak begitu rapat. Saya marah? Sejujurnya, saya sudah tidak rasa apa-apa. Hati saya kosong.
Dulu saya berjuang untuk cinta dan kasih sayang suami, tetapi sekarang saya sudah penat kerana dia tidak berusaha untuk menjaga hubungan kami. Kenapa saya tidak mahu jadi isteri pertama? Kerana saya yakin saya tidak akan dapat taat, terutamanya apabila ada yang kedua. Saya tidak mahu terus memendam rasa dan akhirnya menjadi derhaka.
Saya memilih untuk meletakkan diri saya sebagai keutamaan. Emosi saya kelihatan tenang, tetapi di dalam kepala saya seperti pasar ikan – bising dan kacau. Biarlah suami saya hanya mengawal seorang wanita dalam hidupnya. Saya tidak mahu dikawal lagi.
Saya sudah bersedia sejak awal apabila dia mula ada hubungan dengan orang lain. Tiga bulan berurusan di mahkamah, akhirnya saya sah menjadi bekas isteri. Kami masih berkongsi penjagaan anak, jadi tidak ada masalah di situ. Hari ini, bermulalah perjalanan saya sebagai seorang janda.
Benda pertama yang saya lakukan selepas tamat edah adalah pergi ke Jepun seorang diri, negara yang saya sudah lama ingin lawati selepas tamat pengajian. Selepas itu, saya berhasrat untuk membawa ibu bapa saya bercuti ke Lombok, menunaikan janji saya dahulu. Banyak perkara yang saya capai selepas bercerai. Hobi yang sebelum ini susah saya lakukan, kini saya boleh jadikan sebuah bilik di rumah sebagai studio untuk berkarya.
Suami saya? Saya tidak tahu situasinya. Apa yang saya tahu, dia belum berkahwin lagi. Saya hanya berhubung dengan dia mengenai anak sahaja. Kadang-kadang saya terima mesej darinya, dia kata dia merindui saya, menyesali apa yang terjadi, menghantar gambar atau video cute, tetapi saya hanya membalas dengan emoji senyum.
Ada juga suara-suara di luar sana yang bertanya kenapa saya tidak “fight”? Kenapa saya biarkan orang ketiga menang? Saya jawab, buat apa saya nak berjuang jika hati saya sudah kosong? Buat apa saya nak berjuang untuk kasih suami yang sudah terang-terang curang? Saya pilih diri saya dan belajar untuk menyayangi diri sendiri.
– Nurul (Bukan nama sebenar)
Komen warganet:
Shahinaz KN: Saya suka sikap tenang awak. Dah rancang keluar dengan bijak. Semoga hidup awak terus tenang dan semoga suatu hari nanti awak jumpa seseorang yang betul-betul sayangkan awak tanpa sebarang keraguan (walaupun saya tahu awak tak perlukan sesiapa, tapi baik juga untuk ada).
Noorsyazana Mohd Nor: Kisah yang sangat memberi inspirasi! Saya pun pegang prinsip yang sama, kalau sekali ada nama lain dalam hati suami, percayalah, sayang itu tidak akan sama lagi. Saya juga sudah ingatkan suami saya, jika ada orang lain atau niat nak ada orang lain, sila berterus terang, lepaskan saya dan fokus pada yang baru.
Jangan sia-siakan masa saya. Impian saya besar. Walaupun saya manja, hingga isi minyak pun tak tahu buat, jangan ingat saya tak boleh pergi jauh atau terbang tinggi apabila saya bergerak sendiri.
BACA: Ramai tak tahu, boleh dapat 6 bulan gaji dari perkeso kalau dipecat majikan