Sebar satu gambar ni rupanya jadi punca lelaki dibunuh dan ditanam belakang rumah

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan penemuan jasad seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Choh, Rawang pada 23 Disember lalu.

Walau bagaimanapun, misteri yang menyelubungi kejadian itu akhirnya terbongkar

selepas pihak polis menangkap beberapa orang suspek termasuk tiga adik-beradik.

Sebar satu gambar ni rupanya jadi punca lelaki dibunuh dan ditanam belakang rumah

Difahamkan, pembunuhan yang bermula dengan pertelingkahan itu berpunca dari rasa tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata bahawa pihaknya menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita.

Kesemua suspek yang berusia antara 19 sehingga 46 tahun itu telah ditahan reman bermula 24 Disember lalu hingga esok bagi membantu siasatan, lapor Harian Metro.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan sudah mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek yang mana dua dituduh mengikut Seksyen 201 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan iaitu kesalahan melupuskan barang bukti.

“Manakala, lima orang suspek lain dituduh mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh. Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Selayang pada hari ini.

“Motif kejadian adalah rasa tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa,” kata Noor Ariffin dalam satu kenyataan memetik laporan Harian Metro.

Jelas Noor Ariffin lagi, salah seorang daripada enam suspek itu difahamkan bakal dituduh dengan dua pertuduhan iaitu melupuskan barang bukti dan juga bunuh.

Mengulas lanjut, Noor Ariffin turut memaklumkan bahawa baki dua suspek lain akan dibebaskan dari tahanan reman dan dijadikan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga berjaya menangkap suspek.” Katanya lagi.

Terdahulu, pihak polis menerima laporan sebelum menggali keluar mayat seorang lelaki di kawasan belukar di belakang sebuah rumah pada 5 pagi, 24 Disember lalu.

Perselisihan faham yang bertukar tragedi itu telah menjadi punca mayat ditanam kerana suspek mahu menyembunyikan kejadian daripada pengetahuan pihak polis.

Baca juga: ‘Ramai tak tahu lepas jual rumah boleh claim SURRENDER VALUE insurans. Korang yang dah jual rumah, dah claim ke benda ni? Atau tak pernah tahu pon selama ni?’