“Sebabkan benda ni aku cuci tangan keluar dari dunia rempit..” Detik cemas yang hampir meragut nyawa ketika berlumba mendorong seorang mat rempit tegar untuk ‘cuci tangan’ daripada terus terbabit dengan kegiatan terbabit.
Mengimbau semula pengalaman bergelar mat rempit, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azam, 30-an, berkata, dia mula terjerumus dengan aktiviti ketika berusia 20-an sebaik menamatkan pengajian dalam bidang kulinari di sebuah kolej di Setia Alam, Selangor pada 2013.
“Mula-mula saya merempit kerana suka-suka. Namun, saya menjadi lebih ‘gian’ merempit apabila merasa tercabar dan mahu tunjuk hebat di depan rakan.
“Disebabkan itu, saya mula menyertai perlumbaan haram semata-mata hanya mahu tunjuk motosikal siapa lebih laju dan gaya siapa lebih hebat tanpa ada sebarang hadiah bagi pemenang.
“Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan ke lokasi tumpuan untuk merempit seperti di Bukit Dukung atau Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban daripada jam 1 pagi hingga jam 4 pagi,” katanya.
Azam berkata, sepanjang tempoh beberapa tahun merempit, dia pernah mengalami dua kemalangan parah ketika berlumba.
“Kemalangan pertama berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, dekat Machap, Johor pada 2013 yang menyebabkan saya koma selama seminggu. Namun, saya tidak serik apabila mula merempit semula selepas sembuh dan mengalami kemalangan kedua pada 2014.
“Malah, kematian tiga rakan saya dalam tempoh setahun ketika merempit juga tidak memberi keinsafan apabila saya terus berlumba haram kerana terlalu mengikutkan ‘jiwa muda’ yang membuak-buak ketika itu.
“Saya berasa puas apabila dapat melakukan aksi seperti wheely dan fly kerana berasakan diri ini amat hebat, terutama apabila aksi itu dilakukan pada kelajuan 180 kilometer sejam (km/j),” katanya.
Menurutnya, titik perubahannya berubah menjadi insan lebih baik apabila hampir mengalami kemalangan ketika berlumba di Lebuhraya Grand Saga, dekat Bukit Dukung, Selangor pada 2016.
“Ketika berlumba di Lebuhraya Grand Saga, tiba-tiba ada dua kereta keluar dari laluan. Detik hampir mengalami kemalangan itu amat mengerikan, namun mujur saya sempat mengelak.
“Pada waktu itu, saya hanya mampu mengucap kerana amat terkejut. Ia seperti saya melihat malaikat maut di hadapan saya,” katanya.
Selepas kejadian, itu katanya, dia menjual motosikal yang sering digunakan untuk berlumba pada harga RM5,000 atas dorongan ibu angkat selain keinginannya sendiri untuk berubah.
“Ibu angkat saya tidak mahu saya merempit lagi dan kerana itu, dia minta saya menjual motosikal berkenaan untuk membayar deposit kereta dengan bantuannya.
“Saya juga ada terfikir, dengan usia yang semakin meningkat, sampai bila hendak merempit sedangkan rakan lain ramai sudah berjaya. Disebabkan itu, saya nekad untuk mengubah gaya hidup apabila diterima untuk bekerja di sebuah syarikat penghantaran.
“Pada masa lapang, saya juga mencari pendapatan sampingan melalui perkhidmatan e-hailing dan memang sudah cuci tangan sepenuhnya daripada dunia rempit,” katanya.
Serlah bakar lumba di litar
Pengalaman sebagai mat rempit digunakan sepenuhnya oleh seorang pelumba profesional sehingga dia berjaya menjadi bakat muda dalam dunia permotoran.
Menceritakan semula pengalaman ketika aktif merempit, Muhammad Shafiq Izzariq Saiful Nizam, 24, berkata, dia mula terjebak dalam dunia gelap itu seawal usia 14 tahun kerana terpengaruh dengan rakan.
“Ada banyak lokasi di Kuala Lumpur yang saya sering merempit bersama rakan termasuk Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.
“Saya guna motosikal yang diberikan ibu bapa ketika itu. Untuk mendapat kepuasan dalam merempit, saya juga mengubah suai enjinnya.
“Saya gunakan lebih RM2,000 yang saya kumpul hasil pemberian daripada ibu bapa untuk perbelanjaan seharian bagi melakukan kerja pengubahsuaian motosikal,” katanya di sini.
Muhammad Shafiq berkata, dia mempelajari aksi merempit seperti wheely dan Superman selepas melihat rakan melakukan aksi berkenaan.
“Sepanjang tempoh aktif merempit sehingga 2015, saya pernah ditahan polis beberapa kali atas kesalahan itu. Saya bernasib baik kerana tidak pernah terbabit dalam kemalangan ketika merempit.
“Hati saya terdetik untuk berhenti merempit apabila mendapat peluang beraksi secara profesional dengan platform yang betul,” katanya.
Katanya, dia mahu menggunakan bakat yang ada di tempat yang betul melalui pembabitan dalam pentas kejohanan motosikal sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.
“Saya bersyukur apabila langkah saya untuk menjadi pelumba profesional disokong sepenuhnya oleh keluarga, terutama ibu bapa.
“Besar hasrat saya untuk mengharumkan nama negara sebagai pelumba profesional dengan bakat yang ada,” katanya yang pernah memenangi juara keseluruhan kategori Wira 2016 dan juara Drag Racing dalam beberapa kejohanan yang disertai.
Antara kejohanan motosikal yang pernah disertai Muhammad Shafiq adalah Kejohanan Petronas Malaysian Cub Prix, Kejohanan Brappp Track Attack dan Kejohanan Musc Drag Racing.
BACA:
KKM risau ‘tiger pod’ makin digilai budak, siap ada yang jual depan sekolah
Cubaan cikgu ‘sakau’ duit BAP gagal, dah kantoi pun tak reti minta maaf..