“Sawah padi kami dah macam padang bola, rata je semua..” Seorang pesawah hampa apabila sawah padi diusahakannya di Tali Air 7, Ban 1 Setengah, Sungai Leman tumbang akibat cuaca tidak menentu dan angin kencang, kelmarin.
Abdul Samat Md Nafiah, 53, berkata, dia yang mengusahakan sawah seluas tiga hektar itu tidak menyangka sebahagian besar tanamannya terjejas teruk selain tidak boleh memperoleh hasil seperti musim sebelumnya.
Lebih menyedihkan Abdul Samad apabila sawah padinya ‘rata seperti padang bola’ selepas bencana itu berlaku.
“Sawah padi yang tumbang dalam kejadian itu adalah seluas dua hektar dan semasa kejadian, hujan berterusan dari pagi hingga tengah hari.
“Selepas itu, angin kencang melanda menyebabkan bukan sahaja padi tumbang, malah tanaman turut ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Abdul Samat berkata, sekurang-kurangnya 10 pesawah yang tinggal berhampirannya juga mengalami nasib yang sama.
Menurutnya, selepas kejadian tanaman padi masih lagi terendam dalam air dan ia mengambil masa yang lama untuk surut.
“Kalau diikutkan, hasil padi yang sepatutnya boleh dituai hanya setakat tiga tan sahaja. Itu pun dengan menggunakan jentera mesin padi.
“Jika padi tidak tumbang dan terendam dalam air, saya boleh mendapat hasil sehingga 10 tan seperti musim sebelum ini,” katanya.
Menurut Abdul Samat, dia buntu memikirkan kos yang dikeluarkan untuk tanaman padinya selain modal untuk pusingan musim baru.
“Kalau dalam tempoh seminggu ini, padi tidak boleh diambil selagi air dalam sawah tidak kering.
“Jika padi elok, pemotongan hanya 20 peratus dan jika sebaliknya (padi tidak elok), potongan tinggi sedikit (atas 20 peratus),” katanya.
Abdul Samat berkata, dia ada menghubungi Jabatan Pertanian dan memaklumkan akan masalah itu.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu saya dan rakan pesawah lain. Jika berterusan, ia akan menyebabkan kami semakin terjejas teruk,” katanya.
BACA:
Sambut birthday ke 3, netizen kata muka Leon sebiji bapanya
Habis ‘comot’ Uqasha Senrose main lumpur, sekali lain pula yang netizen perasan