Sanusi melawat kawasan pembalakan Ulu Muda

Sanusi melawat kawasan pembalakan Ulu Muda

Kegiatan pembalakan di luar kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dilaporkan terkawal tanpa menjejaskan kawasan tadahan air sekali gus bekalan air ke negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berjalan lancar.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil pemantauan yang dilakukannya mendapati pembalakan dilaksanakan secara terkawal di kawasan yang telah diberi kelulusan.

“Saya masuk di tengah-tengah Ulu Muda dekat Sungai Kuala Kasai, sebab ada orang ‘pekak’ sebelum ini dakwa Sungai Muda berpunca dari Thailand, namun saya pergi tengok sendiri lokasinya dan menafikan, yang sebenarnya Kedah dipisahkan dengan banjaran,” katanya ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di sini pada Isnin.

Katanya, terdapat tujuh batang sungai bercantum di Ulu Muda yang akhirnya mengalirkan bekalan air ke Sungai Muda.

“Kawasan yang digazetkan sebagai kawasan tadahan tidak akan diganggu, yang dah diluluskan untuk pembalakan ialah sebanyak 25,000 hektar.

“Kita tak biar tetapi kena pantau, jangan ada tebangan melebihi catuan tahunan dan mematuhi zon penampan sejauh empat kilometer untuk menjaga aliran sungai.

“Kawasan yang dibenarkan tebangan juga kena pantau dan spesis yang dilindungi juga tak boleh ditebang,” katanya.

Pada Ahad, Muhammad Sanusi melakukan pemantauan ke kawasan Ulu Muda bagi memastikan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit mematuhi pemit dibenarkan tanpa menjejaskan kawasan tadahan air.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/116589/EDISI/Utara/Pembalakan-Ulu-Muda-terkawal-tanpa-jejas-kawasan-tadahan-air