Saman RM10 juta : Pengunaan terma pembelot keatasnya adalah berniat jahat – Zuraida

Saman RM10 juta : Pengunaan terma pembelot keatasnya adalah berniat jahat – Zuraida

Bon RM10 juta yang ditandatangani ahli PKR sebelum bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) lalu tidak sah kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang menyertai atau meninggalkan mana-mana parti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Bekas naib presiden PKR itu berkata bon tersebut tidak diperlukan mengikut undang-undang pilihan raya negara sebaliknya tindakan unilateral PKR yang mahu bertanding dalam pilihan raya.

Hal itu dinyatakan Zuraida dalam kenyataan pembelaan dikemukakannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Ia dibuat selepas ahli parlimen Ampang itu disaman PKR kerana meninggalkan parti berkenaan beberapa bulan lalu.

Zuraida – yang kini menyertai Bersatu – berkata Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak seseorang itu menggunakan budi bicara untuk memilih parti yang ingin disertai atau mahu disokong.

“Kandungan ikatan bon tersebut sekiranya benar secara keseluruhannya adalah tidak adil dan berat sebelah, termasuklah – tetapi tidak terhad kepada – sekatan terhadap kebebasan berpersatuan, dan oleh yang demikian, tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Zuraida yang juga bekas ketua Wanit PKR mendakwa dia meninggalkan PKR kerana parti terbabit menyimpang dari tujuan asal selepas Anwar Ibrahim kembali menjadi presiden.

Sebelum itu kata Zuraida dia menyertai PKR kerana percaya kepada matlamat dan nilai yang diperjuangkan seperti memperkasakan hak, kuasa dan kepentingan rakyat Malaysia secara tanpa mengira bangsa mahupun agama untuk mewujudkan negara Malaysia yang adil dan maju.

“Defendan mendapati PKR telah tersasar jauh daripada matlamat PKR tersebut selepas Anwar kembali menjadi presiden PKR selepas menerima pengampunan penuh dan dibebaskan dari penjara dan akhirnya telah menyebabkan defendan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR,” katanya yang mendakwa menyertai parti berkenaan sejak 4 April 1999.

Zuraida juga menafikan dakwaan PKR sebagai pembelot sebaliknya mendakwa tidak mudah untuk meninggalkan parti berkenaan kerana dia berkorban untuk membangunkan parti terbabit.

“Tetapi untuk dan demi kepentingan pemilih dan pengundi kawasan parlimen Ampang khususnya dan rakyat Malaysia secara umum, defendan mengambil keputusan untuk keluar agar kepentingan pemilih akan sentiasa dilindungi,” katanya.

Zuraida sekali lagi menegaskan tiada undang-undang Malaysia melarang seseorang meninggalkan parti politik kerana Perlembagaan Persekutuan mempertahankan hak untuk berpersatuan.

“Oleh itu, penggunaan terma pembelot terhadap defendan atau melabelkan defendan sebagai pembelot, bukan sahaja tidak sesuai tetapi langsung tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” katanya.

PKR mengemukakan saman RM10 juta ke atas Zuraida pada 2 Okt lalu melalui setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail kerana meninggalkan parti berkenaan.

Selain Zuraida, ada 10 ahli parlimen lain dari PKR bertindak demikian dan membawa kepada jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557136

COMMENTS