Unit Forensik bertanggungjawab menguruskan kes kematian, termasuk yang berkaitan dengan undang-undang.
Tugas ini mencabar kerana melibatkan pengakhiran hidup seseorang, serta memerlukan ketahanan mental dan emosi yang tinggi.
Baru-baru ini, seorang pakar perubatan forensik berkongsi pengalaman menyentuh hati melalui satu hantaran di media sosial ketika mengendalikan kes mayat yang telah beberapa hari meninggal dunia.
Menurutnya, mayat tersebut sepatutnya sudah mereput berdasarkan prinsip biologi, namun keadaannya yang masih sempurna mengejutkan beliau.
“Dulu, ketika bekerja di bahagian forensik, saya pernah menguruskan kes decomposed body, iaitu mayat yang sudah beberapa hari meninggal dunia.
Saya membuat persediaan seperti biasa, termasuk memasukkan mayat ke bilik dekon untuk mengelakkan bau busuk melekat,” katanya.
Beliau meneruskan prosedur post-mortem seperti biasa, tetapi apa yang ditemui benar-benar di luar jangkaan.
“Demi Allah, saya terkejut. Mayat itu tidak berbau busuk seperti mayat biasa yang sudah mereput. Jasadnya masih cantik dan sempurna walaupun sudah tiga hari meninggal dunia,” jelasnya.
Setelah menyelidik latar belakang si mati, pakar forensik itu berasa sayu apabila mengetahui bahawa individu tersebut adalah seorang mualaf yang tinggal bersendirian kerana keluarganya tidak lagi mahu menerimanya.
“Hingga kini, saya tertanya-tanya apakah amalan arwah sehingga jasadnya terpelihara. Semoga syurga menjadi tempatnya. Ini contoh pengakhiran husnul khatimah,” tambahnya dengan penuh harapan.
Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati bahagian dalaman tubuh arwah, termasuk organ, sudah mencair akibat proses pereputan.
“Sungguh satu keajaiban apabila jasadnya tidak berbau busuk dan tidak dihurungi ulat,” ujarnya lagi.
Perkongsian yang Menginsafkan
Pengalaman tersebut mendapat pelbagai reaksi dari warga maya, yang rata-rata mengambil iktibar dan bermuhasabah diri.
“Semoga syurga menjadi tempatnya. Tuhan masih memelihara aib seseorang walaupun dia telah meninggal dunia,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi berkongsi pandangannya tentang cabaran bekerja dalam bidang forensik.
“Bau busuk mayat boleh diibaratkan seperti campuran bau ikan masin dan ayam masak merah. Ia melekat kuat, dan kadangkala sukar hilang walau sudah dicuci berkali-kali. Hanya mereka yang kuat mental boleh bertahan,” katanya.
Kisah ini bukan sahaja memberi gambaran tentang cabaran dunia forensik, tetapi juga membuka ruang untuk kita merenung tentang kehidupan dan persediaan menuju pengakhiran yang baik.
BACA: ‘Kami usaha, bukan relaks’ Zain Saidin akhirnya bersuara kes hutang RM1 juta