Rupanya wujud perkampungan Melayu di Amerika Selatan, Belanda punca segalanya.
Mungkin korang pernah dengar tentang perkampungan Melayu dan kehidupannya luar dari Nusantara yang pernah kitorang tulis sebelum ni.
Contohnya yang ada di Arab Saudi, Sri Lanka, malah di Afrika Selatan,
Dan berdasarkan kajian, tak hairanlah Melayu ada di serata dunia disebabkan pelayaran orang Melayu zaman dulu ke serata tempat. Tapi selain daripada pelayaran, ada juga bangsa Melayu yang terpaksa berhijrah disebabkan penipuan pihak penjajah Belanda terhadap mereka suatu masa dulu.
Maka, terhasillah sebuah perkampungan yang terletak jauh di Selatan Amerika, sebuah republik yang bernama Suriname.
Kisah penduduk Kepulauan Jawa yang menjadi pekerja kontrak Belanda… di Amerika Selatan
Terletak jauh di Amerika Selatan, Suriname merupakan sebuah republik yang mana penduduknya bukan saja terdiri daripada Latin, tetapi juga kebanyakannya daripada Afrika, Hindustan, Cina, malah Melayu yang berketurunan Jawa.
Suriname, perkampungan Melayu yang terletak di Amerika Selatan, dan dianggap sebahagian daripada Caribbean dan bersempadan dengan Brazil.
Kisahnya bermula sekitar abad ke-19, bila mana terdapat kekurangan pekerja di Suriname disebabkan sistem perhambaan yang dihapuskan pada Julai 1863.
Ini membuatkan kekurangan pekerja yang akhirnya menyebabkan kebun-kebun tak terurus, dan tiada hasil yang boleh dituai.
Ekonomi Suriname juga jatuh mendadak yang mana pada masa tu, ia di bawah jajahan Belanda (Syarikat Hindia Timur Belanda) selepas British menyerahkan kedaulatan kepada Belanda dalam Perjanjian Breda pada tahun 1667.
Jadi untuk menggantikan pekerja-pekerja tersebut, Belanda dapat idea di mana mereka mengerahkan penduduk dari Kepulauan Jawa untuk bekerja di Suriname. Kepulauan Jawa (masa tu belum jadi Indonesia) yang juga tanah jajahan Belanda.
Pemindahan tersebut adalah secara berperingkat antara tahun 1900 sehingga 1940.
Sepanjang tahun-tahun tersebut juga, dianggarkan, sebanyak lebih daripada 32,000 penduduk dari Kepulauan Jawa dibawa belayar ke Amerika Selatan oleh penjajah Belanda untuk bekerja di kebun-kebun mereka di negara Suriname.
Pujukan kerja di Suriname kerana kepadatan penduduk dan bencana alam
Kalau baru-baru ni kerajaan Indonesia mengumumkan perpindahan ibu negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan disebabkan populasi yang padat, korang kena tahu yang pada zaman 1800-an lagi, kepadatan penduduk di Kepulauan Jawa sendiri dah amat tinggi pada waktu tu. Nak nak pula dengan pelbagai bencana alam yang terjadi termasuklah letusan gunung berapi, menjadi salah satu sebab mereka dipujuk untuk bekerja di Suriname.
Di Kepulauan Jawa saja pun dah lebih 10 gunung berapi. Imej dari wiki
Kemungkinannya kalau bukan disebabkan migrasi ni, kepulauan Jawa sekarang (Jakarta, Bandung dan Surabaya) kemungkinannya akan lebih padat daripada yang kita saksikan sekarang.
Mana taknya, penduduk kepulauan Jawa saja adalah 150 juta orang, kira-kira 54 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia. Punyalah ramai sampaikan Jakarta mendap sebanyak 25cm setahun di sesetengah kawasan (pembaris biasa pun panjangnya 15 cm, bayangkanlah!)
Berbalik kepada kisah pelayaran migrasi, ia bukanlah seindah macam naik kapal cruise. Perjalanan laut dari Kepulauan Jawa ke Amerika Selatan agak jauh, memakan masa selama berbulan-bulan lamanya. Nak pula dengan beratus orang menaiki sebuah kapal.
Jauhnya nak ke Suriname, sampaikan boleh buat haji dulu tengah perjalanan.
Dengan kepadatan manusia di atas kapal juga, terdapat berpuluh kematian yang dicatatkan sepanjang perjalanan, termasuklah beberapa orang yang jatuh sakit sesampainya mereka di republik Amerika Selatan tersebut.
Poenale Sanctie, buruh kontrak berhutang yang menunggu masa dimerdekakan
Mungkin disebabkan keadaan di sana yang lebih kurang di Nusantara yang menyebabkan Melayu dari Kepulauan Jawa ni di bawa ke Suriname. Nak pula tanaman di Suriname ni tak jauh beza pun dengan Nusantara, contohnya penanaman tebu, koko dan kopi, dan ada juga bekerja di perlombongan bauksit.
Disebabkan sistem perhambaan dah dihapuskan, jadi Belanda perlulah membayar pekerja Melayu tadi, tapi bersyarat sebagai buruh kontrak. Gaji yang diterima pula adalah sangat murah walaupun untuk masa tu. Pekerja lelaki 16 tahun ke atas adalah sebanyak 60 sen sehari, manakala pekerja perempuan 10 tahun ke atas adalah sebanyak 40 sen sehari.
Pekerja Melayu yang bekerja di ladang tebu dan mengutip kapas. Imej dari thinkarchipelago.
Mereka ni ibarat buruh berhutang di sana. Sebabnya, Belanda mempunyai perjanjian dengan pekerja Melayu yang diambil dari Kepulauan Jawa ni sebelum dibawa belayar. Berdasarkan perjanjian, mereka kena kerja (kontrak) selama 5 tahun, selama 6 hari seminggu, 8 hingga 10 jam sehari. Apabila habis kontrak, barulah mereka diberi hak untuk pulang kembali ke Indonesia dan perjalanan tu akan dibiaya oleh Belanda.
Ada yang nak terus berpindah ke sana, tapi kebanyakannya bersetuju untuk bekerja cuma untuk beberapa tahun di Suriname sebelum dimerdekakan dari ‘hutang’ di bawah akta Poenale Sanctie, iaitu undang-undang bawah jajahan Syarikat Hindia Timur Belanda.
Bagaimanapun, penantian mereka tak pernah berakhir. Perjanjian yang sedia ada tak ditepati oleh Belanda, disebabkan kewangan dan peperangan yang berlaku di seluruh dunia. Tahun demi tahun, perjanjian untuk pulang ke tanah asal mereka tak direalisasikan.
Melayu Kepulauan Jawa yang tinggal di Suriname pada tahun-tahun awalnya. Imej dari thinkarchipelago
Tapi, hidup masih perlu diteruskan. Mereka belajar untuk membiasakan diri dengan tempat yang bakal menjadi tempat tinggal mereka, mungkin selamanya. Generasi demi generasi, mereka akhirnya berkembang, sampai sekarang, yang dikatakan generasi ke empat atau lima.
Suriname kini dengan penduduk yang pelbagai, hasil campur tangan Belanda
Kini, Suriname juga bukan lagi di bawah jajahan Belanda seperti dulu. Nusantara yang dulunya terdiri dari beberapa buah pulau kini menjadi negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Walaupun mereka berasal dari Kepulauan Jawa (yang sekarang ni adalah Indonesia), tapi mereka masih dianggap Melayu.
Jakarta, Bandung, Semarang, Surabaya di Kepulauan Jawa.
Ini kerana menurut sejarawan Malim Ghozali, pada ketika itu Nusantara adalah sebuah kepulauan yang luas merangkumi negara-negara yang kita kenali sekarang. Malah sebelum kemerdekaan, kedatangan Abdullah Hukum dari Sumatera, dan beberapa lagi tokoh lain yang datang dari tanah seberang hanya dianggap sebagai ‘bermain-main di halaman sendiri‘, dan tak boleh dianggap sebagai pendatang sebelum tertubuhnya negara-negara merdeka.
Penduduk kepulauan Jawa Suriname
Disebabkan penjajahan Belanda, Suriname yang berada di Amerika Selatan ni adalah satu-satunya negara di Amerika Latin yang berbahasa Belanda. Walaupun begitu, mereka masih mempunyai bahasa lokalnya iaitu Sranan Tongo, yang bermaksud lidah Surinam.
Ia merupakan bahasa creole berasaskan bahasa Inggeris yang menjadi lingua franca oleh kira-kira 500,000 orang di Suriname. Manakala bahasa Hindi, Bhojpuri, Inggeris, Sarnami, Jawa, Hakka, dan Melayu yang wujud pula adalah dari bangsa lain yang antaranya turut dikerah bekerja di kebun Belanda tersebut.
Mereka berada di situ lebih lama berbanding bangsa Melayu Jawa di sana. Antaranya adalah bangsa Creole dari Afrika yang dibawa ke sana seawal abad ke 16 yang dibeli seawal kanak-kanak, orang Cina sekitar tahun 1853, dan orang India (atau dipanggil Hindustan) yang berasal dari wilayah Calcutta sekitar 1873.
Wajah-wajah Suriname
Bagaimanapun, penduduk terawal Suriname adalah Indian Surinen, sebagaimana Suriname mendapat nama pada 1593 oleh penjelajah Sepanyol.
Peninggalan Melayu yang banyak di Suriname
Menurut jurnal kajian peneliti dari Universiti Leiden di Belanda, Peter Meel, sebanyak 72 ribu (15%) daripada penduduk Suriname adalah keturunan Jawa, dan beragama Islam.
Walaupun sudah beberapa generasi berlalu, tapi nampaknya kunjungan sejarawan, Malim Ghozali menunjukkan yang darah Melayu yang ada dalam diri mereka tak pernah pudar.
Dari segi cara hidup, pemakanan, malah budaya mereka masih lagi melambangkan Melayu yang sangat kuat. Malah dipetik dari kata-kata Malim Ghozali yang melawat ke negara tersebut, “Mereka ini ibarat terkunci dalam kapsul waktu”
Contohnya dapat dilihat daripada pemakaian, makanan mereka sehari-harian, bahasa percakapan, budaya membawa sangkar burung ke mana-mana sebagai radio yang menjadi penghibur, muzik yang dibawa mereka semasa majlis-majlis keraian adalah kompang, rebana besar. Malah beberapa tapak silat yang masih boleh ditemui di seluruh Suriname, Silat Tapak Suci yang turut ada di Netherlands (Belanda).
Silat yang diajar omputih di Belanda.
Walaupun generasi Melayu Suriname yang ada pada hari ni tak pernah menjejakkan kaki ke Kepulauan Jawa, tapi nampaknya mereka masih mahu dikenali sebagai orang Melayu dari Kepulauan Jawa seperti nenek moyang mereka. Malah, rata-rata mereka berharap yang selepas menunaikan haji, Kepulauan Jawa adalah tempat kedua yang mahu ditujui mereka.
“Di Republik Suriname terdapat orang Melayu berketurunan Jawa yang dibawa ke situ oleh Belanda dari tanah Jawa, tanah Andalas, dan dari Nusantara Melayu di sekitar tahun 1870-an, sebagai ‘buruh berhutang’ (indentured labourers).
Orang-orang ini tetap merindukan tanah tumpah darah mereka,” – sejarawan Malim Ghozali, di Bicara@Muzium bertajuk Diaspora Melayu Cocos dan Suriname di Auditorium Jabatan Muzium Negara
Kalau nak diikutkan, mereka berada beribu batu jauhnya dari Nusantara, malah di benua yang berlainan.
Walaupun selepas beberapa generasi yang tinggal di sana, nampaknya budaya dan identiti mereka masih dikekalkan dengan menjadikan bahasa Melayu dan Jawa sebagai bahasa pertuturan dalam keluarga, pakaian batik, alat muzik, malah ilmu pertahanan diri, iaitu silat yang diperturunkan secara turun-temurun dari nenek moyang mereka.
Selain itu, adab dan budi bahasa mereka yang begitu tinggi menjadikan mereka sangat disegani oleh masyarakat lain di sana. Bak kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia“.
Kalau ikut darah yang mengalir dalam badan, Melayu yang merupakan pengembara dan pelayar sudah berada di seluruh pelusuk dunia. Tapi persoalannya, bagi kita yang masih di Nusantara pula, sejauh manakah kita mahu pertahankan warisan dan budaya bangsa kita agar tak hilang ditelan zaman?
BACA:
“Nombor Ka Siong pun saya tiada” kata Deepak, Wee Ka Siong menipu dalam sidang parlimen?