Rupanya ramai tak tahu kisah sebenar disebalik gambar lelaki yang selalu dijadikan sticker whatsapp, sedih kisahnya
Pernah tak korang terfikir, apakah sebenarnya cerita yang berlaku disebalik gambar-gambar yang telah dijadikan ‘meme’ sebagai bahan ketawa?
Bagi yang aktif di laman sosial mesti korang pernah tengokkan gambar lelaki menangis yang dijadikan ‘meme’ ini.
Gambar lelaki ini juga dikatakan popular di kalangan pengguna WhatsApp. Nampak lucu dan sesuai dijadikan ‘sticker’ bukan?
Tetapi, selepas baca pendedahan yang dikongsikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Syed Mohd Nazli Jamalullail ini, pasti korang akan terkejut, dan berfikir sejenak siapa la yang tergamak guna gambar lelaki ini untuk tujuan melawak.
Syed dikatakan pernah berkongsi posting ini pada 18 April 2020 yang lalu tapi posting ini kembali ‘viral’ selepas gambar lelaki itu sekali lagi dilihat berlegar-legar di media sosial selepas ianya dikongsi oleh netizen.
Ini antara luahan yang dikongsi oleh Syed Mohd Nazli di posting Facebook-nya April lalu:
Gurauan?
Ya, saya tidak menolak gurauan. Berguraulah tetapi bersederhanalah dengan gurauan kita.
Saya cuma nak nyatakan bahawa, sangat tidak sepatutnya kita mengutip gambar-gambar di media sosial dan mengedit tulisan seperti gurauan di atas tanpa mengetahui gambar siapa dan kenapa dia menangis dalam keadaan sebegitu.
Airmata bapa kehilangan 5 anak sekaligus
Gambar di atas ialah gambar kawan saya bernama Zulkifli bin Mohd Noor di Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang. Kawan saya ini dirakam gambarnya menangis begitu sayu ketika menceritakan peristiwa tsunami pada tahun 2004.
Dalam tragedi itu saudara Zul kehilangan lima (5) anaknya sekaligus, termasuk anak tunggal lelaki dalam keluarganya semasa tsunami membadai Pantai Pasir Panjang di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Lima anak Zulkifli yang terkorban ialah Siti Nurain, 17; Mohd. Shukri, 12; Siti Nur Shuhada, 10; Siti Nur Atikah, 9, dan Siti Suraya, 5.
Anak yang terselamat ialah Siti Fairuz, 16, dan Siti Zulaikha, 1.
Gambar saudara Zul dalam keadaan yang sangat bersedih sayu itu tiba-tiba kita gunakan untuk tujuan bergurau.
Ya, mungkin yang melakukannya tidak tahu siapa dan kenapa saudara Zul bersedih sebegitu.
Justeru saya nasihatkan kita seeloknya tidak begitu mudah menggunakan gambar orang-orang yang tidak kita kenali untuk apa tujuan sekalipun. – Tulis Syed Mohamad Nazli di Facebook.
Tak semua benda boleh dibuat gurau, apatah lagi kalau ianya melibatkan perasaan seseorang. Bak kata orang ‘Bersenda gurau ada batas-batasnya’ dan jangan pula kita melebih-lebih