Tular video di media sosial yang memaparkan sekumpulan penduduk kampung sedang mengorek pasir untuk membina laluan air dari kawasan bertakung.
Video yang dimuat naik oleh pengguna @toxxxxx__ menunjukkan penduduk membina saluran air bagi mengalirkan limpahan air bertakung ke pantai berhampiran.
Namun, tindakan tersebut mendapat kritikan daripada segelintir netizen yang berpendapat
ia boleh merosakkan ekosistem serta mengganggu keseimbangan alam semula jadi di kawasan tersebut.
Sebahagian netizen malah menggesa pihak berwajib mengambil tindakan terhadap individu yang ‘sewenang-wenangnya’ melakukan kerja-kerja membuka laluan air itu.
Menurut wakil penduduk, aktiviti tersebut dikenali sebagai ‘bedah air’ dan dilakukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan air bertakung melimpah ke rumah penduduk berhampiran, terutama sepanjang musim tengkujuh.
@toxxxxx__atvt ore kapong🌧#musimhujan #airsangatderas
Mohd Azahrul, salah seorang penduduk kampung, menjelaskan bahawa ‘bedah air’ atau juga dikenali sebagai ‘korek alur’ adalah usaha untuk membuka laluan bagi takungan air mengalir ke Pantai Taping Kemasik, Kemaman, Terengganu.
“Kawasan ini asalnya adalah sungai kecil. Apabila strukturnya berubah dan tiada tempat untuk air mengalir, ia akan bertakung.
“Jika hujan berterusan selama dua hari, air akan melimpah ke kawasan rumah penduduk yang tinggal berhampiran. Oleh itu, kita buka laluan air untuk mengelakkan banjir,” katanya.
Tambahnya lagi, proses untuk air bertakung mengalir sepenuhnya ke pantai biasanya mengambil masa dua hingga tiga hari. Walau bagaimanapun, kawasan tersebut boleh kembali bertakung bergantung kepada keadaan hujan.
“Selepas air dilepaskan ke pantai, ombak besar boleh menyebabkan alur yang dibina tertutup semula, dan takungan akan terbentuk kembali. Situasi ini boleh berlaku tiga hingga empat kali sepanjang musim Monsun Timur Laut,” jelasnya.
Selain kawasan yang dirakam dalam video tersebut, terdapat beberapa lokasi lain berhampiran Pantai Taping yang mengalami masalah sama dengan pembentukan takungan air hujan.
Meskipun tindakan ini bertujuan baik untuk mengelakkan banjir, ia tetap mencetuskan perdebatan mengenai kesannya terhadap alam sekitar.
BACA: Rindu nak seberang Sg Golok pekena daging bakar thai? Ini resipinya buat dirumah pun boleh