Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, mata kita pasti tertarik pada bahagian yang bercahaya, sama ada di paparan radio atau dashboard.
Namun, mungkin ada di antara kita yang tidak terlalu peduli dengan apa yang ada di dalam kereta selain daripada lampu, wiper, dan penghawa dingin.
Tahukah anda, sebuah kereta mempunyai kira-kira 15 simbol lampu amaran?
Ada yang kurang, ada yang lebih, bergantung kepada jenis dan fungsi kereta tersebut.
Antara semua simbol itu, terdapat satu lampu amaran yang sangat berbahaya jika diabaikan, iaitu lampu amaran brek atau lebih dikenali sebagai lampu amaran brek tangan (hand brake).
Mungkin ada pembaca yang pernah mengalami situasi di mana lampu brek ini masih menyala walaupun brek tangan telah diturunkan. Pernahkah anda terfikir mengapa lampu tersebut menyala?
Mari kita ikuti perkongsian dari akaun TikTok Altimat Auto Garage mengenai punca situasi ini berlaku.
Punca pertama lampu brek anda menyala mungkin disebabkan oleh brake master pam yang tersumbat. Keadaan ini menyebabkan sensor pada pam tidak dapat mengesan sama ada minyak brek cukup atau bersih.
Jika minyak brek anda bersih, Altimat Auto Garage mencadangkan supaya anda memeriksa keadaan brake pad kereta.
Menurut mereka, punca kedua lampu brek masih menyala mungkin disebabkan brake pad yang sudah menipis.
“Apabila brake pad menipis, minyak di brake master pam akan berkurang secara automatik. Itu normal. Apabila minyak brek berkurang, sensor akan membaca dan memberi amaran di meter kereta, menyebabkan lambang hand brake menyala,” jelas mereka.
Sekiranya anda telah memeriksa kedua-dua minyak brek dan brake pad tetapi tiada masalah ditemui, berkemungkinan berlaku kebocoran minyak brek.
“Bahagian yang paling kerap bocor ialah brake pam belakang dan brake master pam atas,” tambah mereka lagi.
Jika kebocoran ini berlaku, disarankan agar segera ke bengkel untuk memperbaiki brake pam kereta anda. Jika minyak brek habis, ia boleh membahayakan nyawa kerana brek kereta tidak lagi berfungsi.
BACA: “Punca Perceraian…” Sah! Fazura failkan penceraian tengah hari tadi