Seperti yang kita semua sedia maklum, beberapa kawasan di Malaysia ketika ini sedang berdepan dengan cuaca panas sejak beberapa minggu lepas.
Apabila tiba musim panas atau kemarau, kita sering mendengar tentang operasi pembenihan awan (OPA).
Melalui operasi ini, kita berharap hujan terbentuk dan turun untuk melegakan keadaan panas yang dihadapi.
Proses pembenihan awan biasanya dilakukan secara berulang kali dan berterusan sehingga hujan berjaya terbentuk. Di Malaysia, OPA biasanya dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Namun begitu, sudah pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana METMalaysia melaksanakan operasi ini dan proses yang berlaku dalam OPA, kan?
Bagaimana proses Operasi Pembenihan Awan ini dilaksanakan?
Menurut MET Malaysia, operasi ini dilakukan dengan menggunakan dua kaedah iaitu ‘pembenihan basah’ dan ‘pembenihan kering’.
Selain itu, terdapat enam langkah yang disenaraikan oleh METMalaysia semasa OPA dilaksanakan.
Perancangan: Operasi diadakan atas keperluan untuk menangani masalah kekurangan pembekalan sumber air, misalnya untuk sektor pertanian. Ia juga bertujuan menghasilkan air untuk kegunaan domestik dan industri serta mengurangkan kesan jerebu.
Analisis Atmosfera: Pengkaji awal keadaan atmosfera bagi menentukan kesesuaian untuk melaksanakan operasi tersebut akan dibuat.
Persediaan Campuran: Larutan garam (natrium klorida) dicampurkan dengan air dan dimuatkan ke dalam tangki khas. Satu OPA memerlukan empat tangki campuran berkenaan.
Pengangkutan: Kesemua tangki dimuatkan ke dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dibawa ke kawasan awan yang dipilih.
Semburan: Di lokasi awan Kumulus Menara, pesawat akan menyemburkan larutan garam untuk menggalakkan pembentukan titisan awan agar beratnya mencukupi untuk turun sebagai hujan.
Penyelidikan: Hujan biasanya akan turun antara 30-60 minit selepas OPA dilaksanakan.
METMalaysia menyatakan bahawa OPA ini dilakukan dengan teliti dan dalam koordinasi yang ketat bagi memastikan kesannya berjaya serta tidak membawa sebarang kemudaratan kepada alam sekitar.