Rupanya bukan saja-saja pakar kesihatan nasihatkan kita wajib ada 2 papan pemotong di rumah
Papan pemotong merupakan perkakas dapur yang wajib ada bagi setiap rumah.
Namun, berapa ramaikah antara kita yang memiliki beberapa papan pemotong dengan setiap satunya mempunyai tujuan khusus?
Mesti hampir kesemua daripada kita hanya menggunakan papan yang sama untuk pelbagai tujuan. Betul tak?
Tetapi, tahukah anda bahawa tabiat seperti ini boleh mengundang risiko kepada kesihatan. Anda sebenarnya tidak disarankan untuk mencampurkan papan yang sama untuk semua kegunaan. Mengapa? Ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.
Dua papan pemotong?
Dalam satu tinjauan yang dijalankan di United Kingdom, 40% daripada lebih 2,000 individu menggunakan papan pemotong yang sama untuk tujuan memotong daging dan juga sayur.
Jumlah ini mungkin berbeza dan jauh lebih tinggi bagi penduduk di Malaysia kerana kita juga memiliki tabiat seperti itu.
Mulai hari ini, anda disarankan untuk memiliki sekurang-kurangnya dua papan khas; satu untuk bahan basah dan satu lagi untuk bahan kering dan makanan dimasak.
Mengapa perlu begini? Untuk pengetahuan anda, daging atau ayam mentah boleh meninggalkan bakteria salmonella dan campylobacter pada papan pemotong dan boleh menyebabkan keracunan makanan.
Bayangkan jika anda menggunakan papan yang sama untuk memotong murtabak yang dibeli di pasar malam atau mengupas buah epal. Bakteria penyebab keracunan makanan ini boleh berpindah ke makanan yang sedia dimakan dan mencemarkannya dengan lebih mudah.
Dalam satu kajian lain juga menyatakan, papan ini memiliki kekotoran sebanyak 200 kali ganda berbanding tempat duduk tandas. Ingin tahu sebanyak mana kekotoran tersebut? Papan pemotong memiliki jumlah bakteria sebanyak 24,250 bagi setiap sentimeter persegi.
5 tip mudah pastikan kebersihan papan pemotong anda
1. Basuh sebelum guna
Anda mungkin tidak pasti apa yang telah berada pada permukaan papan pemotong sebelum anda menggunakannya. Oleh itu, cuci dahulu dan lap dengan kering sebelum menggunakannya terutama jika anda memotong sesuatu yang sedia dimakan seperti roti, sandwic dan murtabak.
2. Jangan lap sahaja, basuh
Ada sesetengah individu yang gemar untuk mengelapa sahaja permukaan papan tersebut tanpa membasuhnya untuk kegunaan lain. Ini sangat membahayakan kesihatan anda.
Kajian menyatakan kain lap dapur merupakan antara objek yang paling kotor di dalam rumah anda. Oleh itu, elakkan daripada mengelap tanpa membasuh terlebih dahulu.
3. Gunakan sabun pencuci
Tidak cukup dengan hanya siraman air, anda juga perlu mencuci dengan menggunakan sabun pencuci. Sabun pencuci membantu membasmi kuman yang terdapat pada papan pemotong anda.
4. Gunakan papan pemotong berasingan
Ini mungkin langkah yang paling penting. Sediakan papan yang berlainan untuk tujuan berbeza. Satu papan untuk pemotongan bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging.
Satu papan lain digunakan untuk memotong sayur dan buah. Manakala satu papan lain pula untuk tujuan pemotongan bahan makanan bermasak.
5. Tukar papan pemotong anda
Ini mungkin antara yang paling sukar untuk dibuat, dengan alasan untuk tidak membazir. Tahukah anda, papan pemotong yang telah mempunyai rekahan atau calar lebih mudah dicemari dengan bakteria.
Bakteria bersembunyi didalam rekahan dan calar yang ada pada papan tersebut. Oleh itu, tukar papan anda sekiranya sudah mula bertukar warna atau bercalar dengan banyak.
Jangan tunggu sehingga papan anda berwarna hitam atau merekah untuk anda mula menukarnya dengan yang lain. Ada yang lebih dahsyat, mereka masih tidak menukar papan pemotong walaupun ia telah terbelah dua, berkemungkinan akibat pertempuran antara Naruto dan Sasuke yang terjadi di dapur mereka. Hebat bukan?