RM60 Juta duit dalam akaun bank Usain Bolt lesap. Lelaki terpantas dunia, Usain Bolt kerugian AS$12.7 juta (RM54.781 juta) selepas wang itu didapati hilang dari akaun pelaburannya dengan firma pelaburan swasta.
Associated Press (AP) melaporkan Peguam mewakili Bolt, Linton P Gordon sudah menghantar surat kepada Stock & Securities Limited supaya memulangkan wang terbabit, dan pihak berkuasa Jamaica juga sedang menjalankan siasatan mengenai kes itu.
Gordon berkata, akaun milik Bolt yang sebelum ini berbaki AS$12.8 juta (RM55.212 juta) kini hanya tinggal AS$12,000 (RM51,762) sahaja.
“Jika ini benar (namun kami harapkan tidak), ia adalah satu penipuan yang serius terhadap anak guam kami,” katanya dalam satu surat kepada AP.
Pihak guaman mewakili Bolt turut mengancam untuk mengambil tindakan sivil dan jenayah jika wang terbabit tidak dikembalikan dalam tempoh 10 hari.
Stock & Securities Limited bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara terbabit.
Menerusi laman webnya, syarikat pelaburan itu mengarahkan pelanggan untuk segera mengusulkan persoalan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica yang bertanggungjawab melakukan siasatan ke atas firma pelaburan.
“Kami memahami bahawa pelanggan bimbang dan mahukan lebih banyak maklumat, dan kami jamin akan memantau perkara ini dengan teliti dan akan memaklumkan kepada pelanggan setiap langkah yang diambil sebaik menemui penyelesaian dan sebaik maklumat itu tersedia,” katanya.
Syarikat itu mendakwa, wujud beberapa penipuan sebelum ini apabila beberapa pelanggan dilaporkan turut kehilangan jutaan dolar.
Menteri Kewangan Jamaica, Nigel Clarke mengakui keadaan itu membimbangkan dan menyifatkannya sebagai perkara yang luar biasa.
“Institusi kewangan kita meragukan, tetapi saya meminta supaya kita tidak menggambarkan keseluruhan industri ini sedemikian semata-mata sikap segelintir individu yang sangat tidak jujur,” katanya.
Peguam Bolt menghantar surat Isnin lalu, hari yang sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica mengumumkan pelantikan pakar juruaudit bagi menilai tuduhan penipuan di Stocks & Securities Limited, yang beroperasi di ibu kota Kingston.
Bolt telah bersara dari dunia olahraga pada 2017 dan masih memegang rekod dunia acara 100m, 200m dan 4X100m.
BACA:
‘Terpaling ikut tema’ – Selamba je pensyarah ni sauk karpet datang majlis
Nak menangis ayah tengok anak goreng ikan Arowana kayangan kesayangannya