Kebesaran Allah disaksikan sendiri oleh seorang penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, ketika menjalankan kempen dakwah jalanan beberapa tahun lalu.
Dalam satu perkongsian di Facebook, beliau menceritakan pengalaman luar biasa yang berlaku semasa program ‘Hijab Day’
yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Ustaz Hanafi, bersama rakan-rakan NGO, turun padang untuk menggalakkan orang ramai mencuba memakai tudung secara sukarela.
Program tersebut menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelancong asing seperti warga Eropah, Korea, Jepun, serta rakan-rakan dari kaum Cina dan India.
Kisah Sebuah Hidayah
Namun, di antara ramai yang mencuba hijab pada hari tersebut, seorang wanita berbangsa Cina menarik perhatian. Raut wajahnya kelihatan masam, seolah-olah tidak selesa. “Mungkin dia rasa janggal atau berat hati untuk mencuba,” kata Ustaz Hanafi.
Namun, sesuatu yang luar biasa berlaku. Dengan penuh kelembutan, mereka membantu wanita itu memakai hijab. Ketika itu juga, air matanya mula mengalir. Apabila dipakaikan jubah pula, tangisannya semakin menjadi-jadi.
Pada hari yang sama, wanita tersebut kembali ke lokasi kempen selepas waktu bekerja. Ketika forum sedang berlangsung, dia berdiri dan membuat satu pengakuan yang mengejutkan semua orang.
“Dengan suara yang penuh keyakinan, dia berkata, ‘Saya nak masuk Islam.’ Kami terus membimbingnya melafazkan syahadah di hadapan orang ramai. Selepas itu, air matanya mengalir deras,” cerita Ustaz Hanafi dengan penuh rasa sebak.
Apabila ditanya mengapa dia menangis, wanita tersebut menjawab, “Waktu saya pakai hijab masa kempen Hijab Day itu, saya rasa seperti dijaga. Saya rasa dilindungi oleh Tuhan.”
Pengajaran Besar
Ustaz Hanafi menegaskan bahawa yang menjaga wanita itu dan memberinya rasa selamat serta dilindungi adalah Allah SWT. Dalam hantarannya, beliau mengingatkan umat Islam untuk menjaga agama ini dengan sebaik mungkin.
Antaranya, dengan menjaga solat, melakukannya pada awal waktu, serta memperbanyakkan solat sunat. “Allah mewajibkan solat untuk mengajarkan rasa kehambaan dan kebergantungan kepada-Nya,” ujarnya.
Beliau juga menasihati ibu bapa agar mendidik anak-anak mengenal Allah dan menjaga solat.
“Kita tidak mampu menjaga mereka setiap masa. Namun, mereka ada Tuhan yang sentiasa melihat, mendengar, dan berkuasa ke atas mereka. Allah-lah sebaik-baik penjaga,” katanya mengakhiri perkongsian.
Subhanallah, kisah ini menjadi bukti nyata kebesaran Allah dalam memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
BACA: Usaha tak khianati hasil, pemuda usia 20 tahun raih pendapatan RM7000 usaha ladang sawit