“Rani Kulup okay ke tu?”. Gambar calon Bebas kerusi Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah kelihatan seperti tertidur di kerusi tular dalam media sosial sejak petang tadi.
Bagaimanapun, Abdul Rani, 67, yang biasa merujuk dirinya sebagai ‘Ayah’, berkata dia bukannya tertidur, tetapi sengaja merakamkan foto seperti tertidur.
“Bukan tertidur, saja ayah ambik gambar macam tertidur,” balasnya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, dia memang suka berseloroh terutama dalam media sosial tetapi tidak menyangka menjadi kesukaan netizen.
“Ayah tidak kecil hati setiap kata netizen malah menganggap itu sekadar hiburan ringan ketika sibuk dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ayah optimis dengan tujuan ayah masuk bertanding dan berharap agar rakyat di Port Dickson memberi ayah peluang untuk berbakti mewakili mereka di Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Menurutnya, dia akan terus berkempen untuk masuk ke seluruh kawasan di Parlimen Port Dickson bagi meraih undi dan memperkenalkan diri.
“Mana-mana ayah pergi, orang dah kenal sebab sudah biasa lihat di media sosial. Malah setiap kali berkempen, ramai yang minta bergambar termasuk penyokong parti lawan.
“Bagi ayah, semua ayah layan dan terus minta pengundi faham tujuan ayah masuk bertanding dan akan terus memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas,” katanya.
Abdul Rani berkata, dia yakin mampu memberikan khidmat kepada rakyat kerana sudah melakukannya sejak aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Satu harapan ayah, campak ayah di Parlimen, biar ayah gegar Parlimen dengan isu-isu yang sepatutnya diperjuangkan hasil aduan rakyat.
“Kalau dulu, ayah hanya menyerahkan memorandum kepada menteri untuk dibawa setiap isu yang diberikan rakyat, kali ini biar ayah melakukannya tanpa mengharapkan bantuan Ahli Parlimen lain,” katanya.