Ketika anda menghadiri kenduri, terutamanya apabila sudah di penghujung majlis, anda akan melihat ramai tetamu yang berpusu-pusu membungkus lebihan makanan.
Tetapi adakah ini sesuatu yang dibenarkan di sisi syarak kerana ia berkemungkinan boleh dikira sebagai mengambil hak orang lain?
Ayuh kita lihat kupasan yang diutarakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam soal ini.
“Hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis.
Begitu juga pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.
Namun sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram,” demikian menurut laman itu.
Mendalami permasalahan yang dibincangkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata jamuan makan ketika kenduri boleh diibaratkan sebagai satu akad.
“Sekiranya diperhatikan, aktiviti jamuan makan ini terpakai ke atasnya suatu konsep atau akad yang dipanggil sebagai al-Dhiyafah iaitu menjamu tetamu
. Ia berbeza dengan akad hibah daripada sudut pemilikan oleh kerana akad hibah merupakan sebuah akad pemilikan barangan dan bukannya manfaat.
Pun begitu, ia agak hampir dengan akad pinjaman dari sudut ketika menjamah makanan yang dihidangkan. Hal ini kerana, berlakunya konsep al-Ibahah,” jelasnya.
Tambah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, konsep al-Ibahah ini pula terbahagi kepada dua. “Pertama sekali adalah Ibahat al-Intifa‘ iaitu keharusan untuk mengambil manfaat dan Ibahat al-Istihlak yakni keharusan untuk menggunakan sepenuhnya atau menghabiskannya.
Aktiviti kenduri dan jamuan makan kepada tetamu ini terletak di bawah jenis Ibahat al-Istihlak iaitu keharusan untuk menghabiskannya. Namun, di bawah akad al-Dhiyafah ini, tetamu hanya diberikan kebenaran untuk menjamah makanan yang dihidangkan hanya untuk dirinya tanpa diharuskan untuk mengambilnya atau memberi makan pula kepada orang lain mahupun kucing.
Meskipun begitu, sekiranya ada keizinan daripada tuan rumah atau pemilik makanan, maka ia diharuskan,” katanya.